Pencuri kabel lari sembunyi atas pokok

Pencuri kabel lari sembunyi atas pokok

Polis memeriksa peralatan yang dirampas dipercayai digunakan suspek mencuri kabel di Kemasik, Kemaman, semalam. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Cubaan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam aktiviti mencuri kabel telekomunikasi melarikan diri dengan kenderaan sejauh 120 kilometer (km) dan bersembunyi di atas pokok, gagal apabila dia berjaya dicekup polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia 20-an itu ditahan kira-kira pukul 7 pagi di Felda Panching, Kuantan, Pahang.

Menurut Hanyan, sebelum kejadian, sepasukan polis yang melakukan rondaan terserempak dengan empat suspek dipercayai sedang mencuri kabel kira-kira pukul 5 pagi di Kemasik, dekat sini.

“Menyedari kehadiran polis, suspek menaiki sebuah kendera­an pacuan empat roda dan memecut laju sejauh kira-kira 120 kilometer dari Kemasik, melalui Bandar Chukai, kemudian melalui Jalan Mak Lagam ke Cheneh, Jabor, Bukit Kuantan hingga ke Felda Panching.

“Pihak polis turut mendapat bantuan Unit Peronda Ibu Pejabat Polis Kuantan dalam usaha mengejar suspek,” katanya kepada pemberita, semalam.

Hanyan berkata, suspek berasal dari Felda Panching, berjaya ditahan selepas dikesan bersembunyi di atas pokok, manakala tiga lagi rakannya dipercayai bersembunyi dan melarikan diri sedang giat dikesan.

Katanya, pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan peralatan seperti alat pemotong besi, cangkul dipercayai digunakan untuk aktiviti jenayah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×