PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) mohon kerajaan melanjutkan insentif tunai melalui Dasar Gaji Progresif (DGP) dalam jangka masa lebih panjang antara tiga ke lima tahun, bagi menarik penyertaan lebih banyak majikan.
Presidennya, Syed Hussain Syed Husman berkata, banyak majikan yang teragak-agak untuk menyertai DGP kerana bimbang tidak dapat membiayai pada tahun kedua dan seterusnya.
Katanya, bagi tahun pertama pelaksanaan DGP, kerajaan menyediakan subsidi RM200 sebulan bagi setiap pekerja dengan kurang dari setahun perkhidmatan dan RM300 sebulan untuk setiap pekerja melebihi setahun perkhidmatan.
“Kerajaan sebelum ini menyatakan subsidi bagi pelaksanaan DGP selepas tahun pertama bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan.
“Perkara ini membuatkan banyak majikan yang teragak-agak untuk menyertai DGP.
“Sehubungan itu, kerajaan disyorkan membuat peruntukan yang secukupnya dalam pemberian pelaksanaan subsidi DGP,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Setiausaha Agung Dewan Peniaga Melayu Malaysia (DPMM), Amir Hamzah berkata, pelaksanaan DGP mampu meningkatkan pergerakan kemahiran dalam pasaran kerja.
“Ini supaya mereka yang dibayar rendah atau tidak bekerja boleh meneroka peluang kemahiran baharu dan memajukan kerjaya mereka,” jelas beliau.
Katanya, sistem gaji progresif dilihat lebih mempengaruhi pekerja untuk kekal di syarikat tersebut, dalam masa sama produktiviti terhadap syarikat dapat dipertingkatkan.
“Justeru, impak pelaksanaan DGP dilihat lebih menggalakkan pekerja untuk mencapai tahap minimum gaji yang lebih tinggi, walaupun pada awal pelaksanaan ia mungkin membebankan kewangan syarikat dalam memastikan kos operasi tidak terjejas,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, pelaksanaan DGP secara menyeluruh seperti diputuskan oleh Jemaah Menteri dijangka akan dilaksana pada Oktober tahun ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dalam sidang Dewan Rakyat berkata, pelaksanaan projek rintis DGP bertujuan menilai ketersediaan dasar dan sistem yang dibangunkan serta menentukan sebarang penambahbaikan.
Sehingga 25 Jun, seramai 732 majikan sudah membuka akaun menerusi Sistem Gaji Progresif.
Sebanyak 32 peratus iaitu 237 majikan daripada jumlah tersebut mengemukakan permohonan untuk menyertai Projek Rintis DGP.-UTUSAN










