PETALING JAYA: Insiden kebocoran bahan kimia bau dari tangki skid terbiar di Southern Support Zone Sepang Aircraft Engineering di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, tidak melibatkan tangki milik Gas Malaysia Berhad.
Pengurusan Gas Malaysia Distribution Sdn. Bhd. (GMD), anak syarikat milik penuh Gas Malaysia berkata, tangki skid terbiar yang terlibat dalam kejadian itu dan kemudahan gas di sekelilingnya bukan milik GMD.
“Kami ingin menjelaskan bahawa tangki skid terbiar yang terlibat dalam kejadian itu dan kemudahan gas di sekelilingnya bukan milik GMD.
“Kami telah dipanggil untuk membantu Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MASSB) untuk mengenal pasti punca kebocoran.
“Sebagai sebuah organisasi korporat yang bertanggungjawab, penglibatan kami dalam situasi ini adalah untuk memastikan keselamatan awam terpelihara sepanjang masa,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at mengesahkan insiden tersebut berpunca daripada kebocoran pada sebuah tangki skid terbiar.
Katanya, siasatan mendapati, bahan kimia yang bocor itu dikenal pasti sebagai Methyl Mercapta iaitu sejenis gas yang dicampurkan dalam gas memasak.
Beliau berkata, kebocoran gas itu dikesan pada sebuah tangki skid terbiar dan ia tidak digunakan selama lebih sembilan tahun.-UTUSAN










