PETALING JAYA: Kesemua wakil negara membuka aksi mereka dengan langkah kanan selepas berjaya menundukkan lawan masing-masing dalam saingan peringkat kumpulan pada Kejohanan Skuasy Beregu Asia di Arena Emas, Skudai, Johor, semalam.
Dalam aksi Kumpulan B, beregu lelaki Malaysia yang diwakili Ong Sai Hung-Mohamad Syafiq Kamal tidak berdepan masalah mengetepikan pasangan Singapura, Anders Ong-Timothy Leong 11-4, 11-1 dalam perlawanan yang berlangsung pada sebelah pagi.
Sai Hung-Syafiq yang diletakkan sebagai pilihan kedua mencatat kemenangan kedua selepas hanya mengambil masa selama 15 minit untuk menewaskan Ahmad Syarifatul Huda-Agung Wilant dari Indonesia 11-4, 11-2.
Satu lagi wakil negara, Hafiz Zhafri-Duncan Lee yang diundi dalam Kumpulan A hanya akan masuk ke gelanggang, esok, dan mereka bakal berdepan ujian getir menentang pilihan pertama dari India, Abhay Singh-V. Senthilkumar, sebelum berdepan gandingan Filipina, Reymark Begornia-David William Pelino pada perlawanan kedua di sebelah petang.
Sementara itu, dalam saingan Kumpulan A beregu wanita, pasangan adik beradik, Aifa Azman-Aira Azman yang diletakkan selaku pilihan pertama hanya perlu berada dalam gelanggang selama 10 minit untuk menumpaskan Jemyca Aribado-Yvonne Alyssa Dalida dari Filipina 11-2, 11-5.
Dalam perlawanan kedua, Aifa-Aira yang kali pertama digandingkan bersama dalam acara beregu wanita turut tidak menghadapi masalah menewaskan beregu Jepun, Risa Sugimoto-Erisa Sano Herring 11-0, 11-4.
Untuk aksi Kumpulan B pula, pilihan kedua, Noor Ainaa Amani Ampandi-Chan Yi Wen mudah mengetepikan gandingan Indonesia, Raifa Putri Yattaqi-Zalzabilla 11-6, 11-6 dan mereka meneruskan rentang kemenangan dalam perlawanan kedua dengan menundukkan Lee Zi Fang-Gracia Chua dari Singapura 11-1, 11-5.
Bagi saingan beregu campuran pula, Malaysia mempertaruhkan tiga pasangan iaitu Syafiq-Aira, Sai Hung-Rachel Arnold dan Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar-Ainaa yang diundi dalam Kumpulan C serta D.
Rachel yang kini digandingkan dengan Sai Hung selepas persaraan Ivan Yuen diletakkan sebagai pilihan kelima dan mereka tidak berdepan masalah menyingkirkan pasangan Singapura, Anders Ong-Naisha Singh 11-5, 11-5 dan Reymark Begornia-Yvonne Alyssa Dalida dari Filipina 11-7, 11-4.
Dalam aksi Kumpulan D pula, pilihan keempat, Syafiq-Aira mengalahkan Ahmad Syarifatul-Zalzabilla dari Indonesia 11-4, 11-3, sebelum membenam gandingan Singapura, Timothy-Zi Fang 11-1, 11-7.
Pilihan keenam, Addeen-Ainaa yang turut berada dalam Kumpulan D menumpaskan Timothy-Zi Fang 11-8, 11-2, sebelum menundukkan Ahmad Syarifatul-Zalzabilla 11-5, 11-3. – UTUSAN










