Program pemutihan pengayuh beca Oktober ini – MBMB

Program pemutihan pengayuh beca Oktober ini – MBMB

PERKHIDMATAN beca terus menjadi tarikan terutama pelancong asing di sekitar Banda Hilir. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan melaksanakan program pemutihan terhadap 300 pengayuh beca berlesen di sekitar Banda Hilir di sini, bermula Oktober ini.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, ia bertujuan untuk mengenal pasti individu yang menyalahgunakan lesen MBMB dengan menyewakan beca milik mereka kepada pihak lain.

Kata beliau, berdasarkan aduan yang diterima, terdapat segelintir pengayuh beca yang menyewakan beca kepada warga asing dan remaja bawah umur.

“Kita akan sediakan satu garis panduan baharu yang lebih ketat berbanding sebelum ini bertujuan melindungi golongan itu daripada pihak yang mengambil kesempatan. Mereka telah dimaklumkan perkara ini supaya lebih bersedia ketika mahu memperbaharui lesen yang akan tamat pada Disember nanti.

“Terdapat aduan yang mengatakan mereka tidak mengayuh beca tetapi bertindak menyewakan kepada orang lain termasuk warga asing dan remaja bawah umur. Jika didapati bersalah mereka berdepan kompaun RM250 dan beca disita,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan, kebanyakan penga­yuh beca tidak berlesen di sekitar Banda Hilir dikatakan membabitkan golongan remaja bawah umur.

Seorang pengayuh beca yang mahu dikenali sebagai Yusof, 51, mendedahkan, kesemua remaja terbabit dipercayai mendapat sokongan ahli keluarga yang turut bekerja sebagai pengayuh beca.

Tambah Shadan, pengayuh beca perlu melepasi temu duga dan saringan kesihatan sebelum lesen mereka diperbaharui.

Menurutnya, pengayuh beca juga perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan asas tentang Melaka.

“Kita tidak mahu pengayuh beca yang tidak tahu sejarah Melaka. Ini kerana mereka adalah pengayuh beca pelancongan dan bukannya pengangkutan.

“Kita juga mahu pastikan pengayuh beca bebas penyakit kronik. Selain itu, pakaian mereka juga akan diseragamkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×