KOTA KINABALU: Semua ketua-ketua jabatan yang berkaitan diarahkan untuk mengambil tindakan tegas dan pantas dalam menangani isu-isu semasa seperti masyarakat Palauh yang mendakwa rumah mereka dibakar dan banjir di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, beliau tidak mahu isu-isu semasa sebegitu menjadi lebih besar hingga menjejaskan reputasi negeri dan negara.
Menurut beliau, susulan banjir yang melanda empat daerah bermula Ahad lepas, kerajaan negeri mengumumkan bantuan RM1,000 kepada mangsa-mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi meringankan beban mereka.
“Isu masyarakat Palauh atau Bajau Laut di Semporna mula timbul apabila terdapat dakwaan agensi penguat kuasa bertindak merobohkan dan membakar rumah masyarakat Bajau Palauh di Taman Marin Tun Sakaran (TMTS).
“Kerja-kerja meroboh dan pengosongan penempatan tanpa izin itu dilaksanakan pada 4 hingga 6 Jun lalu dengan membabitkan 138 penempatan haram yang dibina di kawasan panas,” kata beliau semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah (JKKN), di Menara Kinabalu hari ini.
Hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin; Pesuruhjaya Polis, Datuk Jauteh Dikun dan Pengarah Keselamatan Negeri merangkap Setiausaha JKKN, Datuk Noor Alam Khan A Wahid Khan serta ketua-ketua jabatan.- UTUSAN










