PETALING JAYA: Pas menyelar tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjanjikan pelaksanaan dua projek di kerusi Sungai Bakap sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Neger (DUN) itu pada 6 Julai ini.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dalam satu kenyataan berkata, dua projek yang dijanjikan ialah mewujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas dan pembinaan sekolah Tamil di Sungai Bakap.
“Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang media ketika hadir ke Majlis Kasih Bersama Pemimpin di Sungai Kechil, Sungai Bakap pada 2 Julai lalu.
“Pas menyifatkan kenyataan ini sebagai satu rasuah terang-terangan dengan tujuan untuk mempengaruhi pengundi sekaligus sewajarnya diisytiharkan sebagai satu kesalahan mengikut Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya,” katanya.
Jelas Ahmad Fadhli, tindakan itu merupakan satu tindakan terdesak oleh PH dan Barisan Nasional (BN) untuk memenangi PRK.
“Pas tidak tolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mencabuli undang-undang pilihan raya terutama dengan menawarkan apa-apa habuan dan projek dengan tujuan mempengaruhi pengundi,” katanya.











