PETALING JAYA: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya melaksanakan operasinya melebihi sasaran yang ditetapkan walaupun menghadapi kekangan sumber kewangan dan kekurangan kapal.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024, pertahanan laut negara itu telah menggunakan kapal yang melebihi usia guna dan secara high-tempo bagi menjayakan operasinya.
Bagaimanapun, LKAN mendapati wujud pengurusan aktiviti kurang memuaskan antara perolehan kapal baharu yang tidak dilaksanakan perancangan dan penyenggaraan kapal pula tidak mengikut jadual serta alat ganti bernilai RM384.49 juta tidak digunakan.
Menyentuh prestasi perolehan kapal yang sekitar 22.2 peratus, LKAN memaklumkan sasaran perolehan 18 kapal untuk RMK-11 dan RMK-12 dengan sehingga 31 Disember 2022, hanya menerima empat kapal.
“Sebab ketidakcapaian sasaran antaranya iaitu kelewatan penyiapan kapal Kapal tempur pesisir (LCS), pengurangan satu kapal LCS, perolehan Kapal Pesisir Pantai (LMS) tidak mengikut perancangan dan perolehan kapal kapal sokongan pelbagai guna (MRSS) tidak dilaksanakan,” katanya.
Menurut LKAN, Kementerian Pertahanan akan memastikan lima LCS diterima mulai Ogos 2026 hingga 2029, perolehan tiga LMS dilaksanakan di bawah RMK12, perolehan baki tiga LMS dan dua MRSS di bawah RMKe13.
“Prestasi perolehan kapal tidak memuaskan dan boleh menjejaskan sasaran pegangan kapal menjelang tahun 2050,” katanya. – UTUSAN










