SHAH ALAM: Sebanyak 13 pembangunan pemacu perubahan atau 65 peratus daripada keseluruhan 20 projek yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Selangor 1 (RS1) sudah berada di peringkat pelaksanaan.
Projek-projek tersebut termasuklah Kawasan Pembanguna Sabak Bernam (SABDA), Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS), Zon Pembangunan Ekonomi Selangor Maritime Gateway (ZPESMG), pembersihan dan pemulihan Sungai Klang.
Perancangan RS1 itu turut melibatkan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang sudah pun dimulakan kerja-kerja perobohannya pada 1 Julai lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, terdapat sebanyak 262 program dalam RS1, 20 projek berimpak tinggi merentas empat teras iaitu Pengukuhan Ekonomi, Peningkatan Kesejahteraan dan Keterangkuman Sosial, Pemacuan Kelestarian serta Tadbir Urus SMART dan Berkesan.
“Sebanyak dua projek iaitu 10 peratus daripada pemacu perubahan sudah berada pada peringkat reka bentuk dan perancangan iaitu Selangor Aeor Park dan Pembangunan Sistem Inventori Gas Rumah Hijau untuk Selangor.
“Manakala lima projek atau 25 peratus dalam fasa konsep dan permulaan iaitu Carey Selangor sebagai Pelabuhan Ketiga, Galeri Seni Kontemporari dan Moden Shah Alam (SAMA), Program Pekerjaan Warga Emas Selangor, Jawatankuasa Pengurusan Risiko Berpusat (RMC) dan penubuhan Intelligence Analytics Unit (IAU) Negeri,” katanya pada pembentangan Kajian Separuh Penggal RS1 di pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke-15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
RS1 sebelum ini dilancarkan pada 2021 merupakan sebahagian daripada tekad lima tahun kerajaan negeri sehingga 2025 yang menerapkan dua fokus iaitu menilai keberkesanan sistem pelaksanaan dan kedua, melakukan anjakan baharu peringkat negeri.
Jelas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Kajian Separuh Penggal RS1 itu, lebih 120 pemegang taruh di pihak kerajaan dan swasta terlibat bagi rancangan-rancangan akan datang mendapat persetujuan dan sokongan mereka selain pengesahan kajian.
“Kajian separuh penggal merupakan satu usaha dan proses yang dibangunkan bagi menilai semula empat tema strategik dalam kerangka rancangan pembangunan lima tahun kerajaan negeri,” ujarnya.
Malah, kata Amirudin lagi, ekonomi negeri ini berada pada landasan yang betul untuk melaksanakan RS1 yang turut dibuktikan dengan laporan DOSM terhadap sumbangan Selangor kepada KDNK sebanyak 25.9 peratus pada 2023.
“Selangor merupakan negeri yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi paling tinggi pada 2023 dengan nilai 5.4 peratus. Berikutan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangka perlahan pada tahun 2024, prospek ekonomi Selangor diunjurkan pada kadar 5.2 peratus untuk 2024, dijangka lebih baik daripada unjuran KDNK negara pada kadar empat hingga lima peratus,” jelasnya. – UTUSAN










