KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 9 Ogos ini untuk mendengar permohonan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin agar kes berkaitan gagal mengisytiharkan 70 harta yang dihadapinya, dipindahkan di hadapan hakim berlainan.
Prosiding pendakwaan terhadap Daim sebelum ini didengar di hadapan Azura Alwi iaitu hakim sama yang mendengar pendakwaan terhadap isterinya Toh Puan Na’imah Abdul Khalid atas pertuduhan gagal mengisytiharkan 12 harta.
Bekas Menteri Kewangan itu memfailkan permohonan tersebut pada 7 Mei lalu atas alasan antaranya terdapat kemungkinan berlaku ketidakadilan dan prejudis terhadapnya kerana kes isterinya juga didengar di hadapan Azura.
Pada prosiding hari ini, Hakim Azrul Darus menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd. Zamry memaklumkan pihaknya masih menunggu keputusan berhubung permohonan pemindahan kes yang difailkan Daim.
“Sehubungan itu, saya memohon supaya permohonan itu didengar pada 9 Ogos ini,” kata Mohamad Fadhly semasa sebutan kes tersebut.
Mohamad Fadhly berkata, afidavit balasan responden (pendakwaan) telah difailkan pada 23 Mei lalu manakala afidavit jawapan pemohon (Daim) pada 30 Mei.
Sementara itu peguam M. Puravelan, yang mewakili Daim memohon supaya kehadiran anak guamnya dikecualikan pada tarikh tersebut.
Namun perkara itu dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan memohon supaya Daim hadir untuk prosiding berkenaan.
Azrul menolak permohonan pembelaan dan memerintahkan Daim hadir pada pendengaran itu. Daim tidak hadir hari ini kerana kehadirannya dikecualikan.
Pada 29 Januari lalu, Daim, 86, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(a) akta SPRM 2009 (Akta 694).
Notis bertarikh 8 November 2023 itu telah dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023.
Harta itu antaranya satu akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar, Mercedez Benz serta Roll Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak serta Pahang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) No.2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 13 Disember tahun lalu.
Sebelum itu pada 23 Januari lalu, Na’imah, 67, turut didakwa atas pertuduhan sama membabitkan antaranya bangunan Menara Ilham, dua kereta Mercedez Benz serta beberapa aset harta di Bukit Tunku, Taman Tun Dr. Ismail dan Pulau Pinang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tempat dan tarikh yang sama.











