PETALING JAYA: Kedudukan kewangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) secara keseluruhannya kurang stabil kerana mencatatkan kurangan terkumpul sebanyak RM17.06 juta setakat 31 Disember 2022, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.
“UIAM juga dalam kedudukan tidak berupaya membayar balik hutang semasa dan hutang jangka panjang kerana bergantung kepada geran kerajaan bagi tempoh tahun 2020 hingga 2022,” kata laporan itu yang dikeluarkan hari ini.
Menurut laporan itu, sumber pendapatan UIAM bergantung kepada geran kerajaan antara 83.7 hingga 85.9 peratus, manakala pendapatan dalaman dan lain-lain pendapatan UIAM bagi tempoh 2020 hingga 2022 hanya dijana antara 14.4 hingga 16.3 peratus.
Berdasarkan butiran laporan itu, UIAM menerima geran kerajaan sebanyak RM995.98 juta pada 2020; RM1,023.67 juta (2021) dan RM1,050.71 juta (2022). Manakala pendapatan dalaman pula hanya sebanyak RM123.98 juta pada 2020; RM105.22 juta (2021) dan RM115.99 juta (2022).
Laporan itu juga menunjukkan, UIAM menerima geran daripada dua dana iaitu Dana Amanah Endowmen sebanyak RM9.70 juta pada 2020, RM4.78 juta (2021) dan RM4.99 juta (2022). Manakala pendapatan daripada Dana Amanah berjumlah RM59.84 juta pada 2020, RM57.95 juta (2021) dan RM80.21 juta (2022).
Jelasnya, pada 2021, UIAM mencatatkan sedikit peningkatan pendapatan iaitu RM1.191 bilion berbanding RM1.190 bilion tahun sebelumnya. Pendapatan pada tahun 2022 juga meningkat kepada RM1.252 bilion berbanding 2021.
Bagaimanapun, terdapat peningkatan perbelanjaan UIAM berjumlah RM98.48 juta (9.5 peratus) menjadi RM1.131 bilion pada tahun 2022 berbanding RM1.033 bilion pada tahun 2020.
“UIAM mencatat lebihan sebelum cukai selama tiga tahun berturut-turut tetapi merosot pada setiap tahun. Keadaan ini menyumbang kurangan terkumpul berjumlah RM17.06 juta setakat 31 Disember 2022.
“Jumlah liabiliti melebihi aset bagi tempoh 2020, 2021 dan 2022 iaitu masing-masing berjumlah RM38.45 juta, RM17.68 juta dan RM17.06 juta,” katanya.
Menurut laporan itu lagi, skop pengaudittan UIAM dijalankan terhadap tiga aktiviti utama iaitu pengajaran dan pembelajaran, projek pembangunan dan infrastruktur serta kemudahan kampus bagi tempoh 2019 hingga September 2023.
Katanya, pengauditan juga melibatkan lapan elemen amalan terbaik tadbir urus korporat bagi tempoh 2019 hingga 2023. Aspek kedudukan kewangan meliputi analisis penyata kewangan beraudit tahun 2020, 2021 dan 2022.
Jelasnya, audit dijalankan ke atas UIAM kerana universiti itu tidak pernah diaudit sejak penubuhannya pada tahun 1983.
“UIAM menerima geran kerajaan berjumlah RM4.859 bilion bagi tempoh tahun 2019 hingga 2022. Pelaburan UIAM dalam subsidiari berjumlah RM32 juta,” katanya.
Penemuan Audit:
* Bilangan pelajar tempatan berdaftar kurang berbanding penawaran iaitu 66 peratus.
* Penghutang pelajar luar negara tanpa tajaan berjumlah RM9.17 juta tertunggak melebihi 180 hari.
* Sebanyak 125 (39.6 peratus) daripada 316 hartanah belum dapat disewakan.
* Kurangan terkumpul berjumlah RM17.06 juta setakat 31 Disember 2022.
* 306 peralatan perubatan di hospital berjumlah RM12.34 juta tidak digunakan sejak tahun 2017 hingga Ogos 2023.
* Pulangan dividen daripada subsidiari kepada UIAM adalah berjumlah RM1 juta berbanding suntikan modal berjumlah RM32 juta.
* Tiga projek dilaksanakan oleh subsidiari lewat disiapkan dan satu projek tidak diteruskan.
Syor Audit:
* Mempertingkatkan daya saing UIAM sebagai universiti tempatan yang berwibawa dengan menjana pendapatan melalui pengurusan yuran pengajian atau fasiliti dan sewaan hartanah yang lebih cekap dan berkesan.
* Meningkatkan pengurusan projek pembangunan dan menambah baik kalusa perjanjian konsesi serta Perkhidmatan Pengurusan Fasiliti (FMS) bagi menjaga kepentingan universiti.
* Memastikan keputusan pematuhan Akta 586 dimuktamadkan dengan segera agar dapat memanfaatkan fasiliti kesihatan yang disediakan serta memantapkan amalan atdbir urus seperti Prosedur Operasi Standard (SOP) syarikat dan Audit Dalaman.
* Memastikan subsidiari membayar dividen selaras dengan polisi UIAM dan memantau pengurusan projek secara menyeluruh. – UTUSAN










