SHAH ALAM: Kedudukan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari diubah pada kedudukan barisan hadapan antara blok pembangkang dan kerajaan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Speaker Lau Weng San berkata, beliau membuat perubahan tersebut selepas menerima notis daripada salinan kenyataan daripada Abdul Rashid pada 6 Mac lalu dan notis daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 21 Jun berkenaan status keahliannya yang diberhentikan berkuat kuasa pada 7 Jun.
“Pertukaran yang diputuskan pada sementara waktu melibatkan tempat duduk Selat Klang dan Sijangkang dan dengan pertukaran ini adalah di antara PN dan Kerajaan Perpaduan dengan mengambil kira Selat Klang sebagai ADUN yang tidak mempunyai keanggotaan dalam mana-mana parti.
“Kedua, mengambil kira kekananan beliau sebagai ADUN penggal kedua dan pernah memegang jawatan sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya menjawab aturan kerusi yang dibangkitkan Mohamed Azmin sebelum Mesyuarat Kedua Penggal Ke-15 DUN Selangor dimulakan.
Terdahulu, bekas Menteri Besar Selangor itu membangkitkan berkenaan kedudukan ADUN Selat Klang yang dikatakan masih lagi berada di dalam blok pembangkang dan mendakwa keadaan itu akan menyebabkan ketidakharmonian perbahasan dalam sidang DUN.
“Seperti yang termaktub dalam Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu kerana ketidakpatuhan beliau terhadap arahan-arahan Majlis Tertinggi Pimpinan (MPT) Bersatu dan untuk makluman Speaker seperti dimaklumkan secara rasmi, satu notis memaklumkan bahawa beliau bukan lagi ahli Bersatu dikeluarkan pada 12 Jun bermakna beliau sedia maklum secara rasmi bahawa beliau bukan ahli Bersatu dan Perikatan Nasional (PN),” ujarnya.
Dalam pada itu, Weng San turut memaklumkan beliau menerima penjelasan daripada Mohamed Azmin berhubung permohonan perubahan tiga lagi kerusi iaitu Gombak Setia, Jeram dan Sungai Kandis serta membuat perubahan sementara waktu sehingga keputusan dibuat selepas perbincangan dengan Pejabat Dewan.
“Jadi, cadangan saya terima sebenarnya pada 2 Julai untuk menukar tiga orang iaitu Gombak Setia menduduki tempat di Selat Klang dan juga Jeram menduduki tempat Gombak Setia dan Sungai Kandis ke tempat Jeram.
“Jadi, itu adalah pertukaran melibatkan ADUN daripada Bersatu melangkaui empat baris, jadi pada pendapat saya masa itu cadangan itu adalah agak drastik, tetapi apa pun sekali mengikut amalan konvensyen parlimen, saya sudah pun memohon pada pagi ini untuk mendapat penjelasan terperinci daripada Hulu Klang berkenaan kedudukan ketiga-tiga ADUN itu dari segi kekananan mereka dalam parti Bersatu, saya sudah pun terima pada pukul 9.30,” jelasnya. – UTUSAN










