ALOR SETAR: Sebanyak 95 unit topi keledar tiruan berjenama popular serta 133 beg sarung topi keledar berlabel jenama itu dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sebuah kediaman, di sini kelmarin.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu dilakukan bersama-sama wakil Trade Mark Owner (TMO) bagi jenama itu dan wakil syarikat guaman Shearn Delamore and Co.
Menurutnya, sepasang kekasih berusia awal 30-an yang bergiat aktif menjual topi keledar itu secara dalam talian turut ditahan bagi membantu siasatan sebelum mereka dibebaskan setelah dirakam keterangan.
“Serbuan berdasarkan aduan dan hasil risikan yang dijalankan sejak Februari lalu di sekitar Alor Setar, pasangan ini menggunakan platform TikTok dan Facebook untuk menjual topi keledar tiruan itu.
“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM16,248 dan kesemua rampasan itu yang disahkan tiruan oleh wakil TMO telah disita bagi siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan barang-barang yang dipakaikan cap dagangan dengan salah.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, pasangan itu boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang-barang atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
“KPDN Kedah ingin memberi amaran kepada peniaga agar tidak menjual atau menawarkan apa-apa barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah. Pengguna juga dinasihatkan membeli barangan tulen serta menggunakan topi keledar mengikut standard keselamatan yang mempunyai tanda SIRIM,” katanya. -UTUSAN











