PETALING JAYA: Kebanyakan petugas kesihatan yang dibuli secara mental dan fizikal lebih memilih untuk berdiam diri kerana takut melaporkannya kepada ketua jabatan atau pihak berkaitan.
Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Ahmad Izzuddin Anuar berkata, lebih mengecewakan apabila tindakan yang dikenakan adalah kepada mangsa, bukannya pelaku buli itu.
“Selalunya tiada tindakan. Nasib tidak baik, yang melaporkan akan dikenakan tindakan. Sebab itu mangsa lebih memilih media sosial untuk ditularkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memberi amaran tidak akan berkompromi atas sebarang isu buli dalam kalangan petugas kesihatan.
Katanya, beliau pernah mengambil tindakan terhadap seorang pegawai kanan kerajaan sehingga pegawai itu dipecat.
“Jadi, kali ini saya juga tidak akan berkompromi atas apa-apa pun buli yang dijalankan terutama secara serius dan yang berulang,” katanya.
Dalam pada itu, berdasarkan tinjauan yang dilakukan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Sarawak merupakan negeri tertinggi yang melaporkan mengalami beberapa bentuk buli dengan 15 kes.
Situasi itu memberi kesan kepada pengamal perubatan dalam semua peringkat termasuk 168 pegawai dengan 50 peratus daripadanya merupakan doktor pelatih dan pakar.
Dalam kaji selidik tersebut, didapati pengamal perubatan junior juga yang paling ramai bekerja lebih masa.
“Sebanyak 60 peratus doktor muda dengan pengalaman kurang daripada dua tahun pula terpaksa bekerja lebih masa setiap hari.
“Sebanyak 30 sehingga 40 peratus bekerja lebih masa sekurang-kurangnya tiga kali seminggu,” jelasnya. – UTUSAN











