KEMAMAN : Taktik tiga lelaki yang menyamar sebagai pekerja penyelenggaraan syarikat telekomunikasi sebelum dipercayai melakukan kegiatan mencuri kabel di sekitar daerah ini, membawa padah apabila mereka berjaya dicekup polis, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia 25 hingga 35 tahun yang dikenali sebagai ‘Geng Kabel’ itu ditahan kira-kira pukul 2 pagi tadi di kawasan pencawang komunikasi di Bandar Cheneh Baru oleh dua anggota polis yang membuat rondaan.
“Curiga dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan tiga lelaki yang berada di kawasan itu pada awal pagi, dua anggota polis melakukan pemeriksaan dan telah menemui dua pemotong kabel yang dipercayai digunakan untuk mencuri.
“Hasil pemeriksaan turut mendapati ketiga-tiga lelaki itu menyamar sebagai pekerja perkhidmatan telekomunikasi dan salah seorang daripada mereka turut memakai pakaian syarikat telekomunikasi ketika ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, hari ini.
Hanyan berkata, siasatan lanjut mendapati kegiatan itu turut didalangi salah seorang suspek yang merupakan bekas pekerja kontraktor penyedia telekomunikasi yang arif berkaitan kabel.
Menurutnya, pihaknya percaya kumpulan itu terlibat dalam 11 kes kecurian kabel yang berlaku di daerah ini sejak awal Januari lalu melibatkan kerugian lebih RM5 juta.
“Modus operandi kumpulan ini adalah dengan berpura-pura melakukan kerja penyelenggaraan di pencawang telekomunikasi pada waktu malam dan kenderaan pacuan empat roda juga ditampal pelekat syarikat telekomunikasi untuk tujuan penyamaran.
“Kita percaya, kumpulan ini didalangi rangkaian sindiket yang besar dan turut terlibat dengan kes kecurian kabel bukan hanya di daerah ini tetapi juga di negeri-negeri Pantai Timur. Kita akan membuat siasatan lanjut berhubung perkara ini,” katanya.
Hanyan berkata, ketiga-tiga suspek yang positif metamfetamin itu mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah dengan suspek utama mempunyai 13 rekod lampau.
Tambahnya, ketiga-tiga suspek direman selama empat hari hingga Jumaat ini.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan kita akan turut melihat Seksyen 170 kanun yang sama,” katanya.- UTUSAN
HANYAN Ramlan (kiri) memeriksa barang yang dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan mencuri kabel di Bandar Cheneh Baru, Kemaman, hari ini. – UTUSAN/










