Tabung Kasih Johor-Palestin dilancar, sasar kutipan RM2.5 juta - Utusan Malaysia

Tabung Kasih Johor-Palestin dilancar, sasar kutipan RM2.5 juta

ONN HAFIZ Ghazi melancarkan Tabung Kasih Johor Palestin di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri melancarkan Tabung Kasih Johor-Palestin bagi memudahkan orang ramai membuat sumbangan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khaled berkata, sempena pelancaran tabung itu, kerajaan negeri turut melancarkan akaun bank khas bagi memudahkan sumbangan dibuat secara terus bermula hari ini hingga Ogos dan menyasarkan kutipan sebanyak RM2.5 juta.

“Seluruh Bangsa Johor digalakkan untuk menyumbang ke dalam tabung ini. Sumbangan yang diperlukan adalah dalam bentuk wang tunai dan bukan barangan ini kerana ia mungkin tidak bersesuaian dengan keperluan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelancaran tabung berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pada majlis itu, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menyumbangkan sebanyak RM500,000, manakala UMNO Bahagian Parit Sulong menyalurkan RM2,061 untuk tabung berkenaan.

Mohd. Fared berkata, tabung itu juga akan digerakkan ke masjid dan surau di semua daerah selain membuat kutipan khas pada setiap Jumaat. 

ADS:D

Setiap perbelanjaan berkaitan sumbangan itu akan diumumkan kepada rakyat bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan dana kutipan.

Katanya, terdapat empat kaedah yang digunakan untuk menyalurkan sumbangan, iaitu bungkusan sumbangan menerusi sukarelawan yang akan dihantar menggunakan jalan laut, bungkusan sumbangan di sempadan Mesir-Gaza, pemberian Khemah di bawah Perkampungan Johor di Gaza dan pemberian makanan panas di kem-kem pelarian.

Menurutnya, bantuan berbentuk masakan panas, khemah dan bungkusan dari Mesir akan dilaksanakan dahulu sebagai bantuan untuk menghadapi musim sejuk di Gaza, Palestin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN