Kekalkan identiti tempatan dalam pembangunan moden - Anwar  

Kekalkan identiti tempatan dalam pembangunan moden – Anwar  

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (tujuh kanan) bergambar bersama wakil-wakil pemimpin ASEAN selepas gimik pembukaan The ASEAN-China Ministerial Roundtable on Construction and Housing 2024 (ACMROCH 2024) dan The 23rd International Architecture, Interior Design and Building Exhibition 2024 (ARCHIDEX 2024) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengekalkan identiti dan budaya tempatan dalam pembangunan moden, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, negara terdiri daripada pelbagai kaum dan adalah memalukan sekiranya Malaysia kehilangan seni bina, reka bentuk dan bidang lain yang berkaitan dengan identiti dan budaya bangsanya.

Katanya, kaum Melayu, Cina, India, etnik Sabah dan Sarawak serta Orang Asli merupakan sebahagian daripada masyarakat negara ini dan pembangunan tidak boleh menyisihkan ciri-ciri budaya masyarakat berkenaan, selain perlu mempunyai rangka dan dasar yang jelas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Adalah memalukan jika kita tidak mengambil kira ciri tersebut sama ada dalam perancangan, pembuatan atau pembinaan.

“Kita perlu mengambil kira keperluan pertimbangan semua sektor supaya kita tidak mengulangi kisah dua bandar, satu sektor untuk orang kaya dan satu sektor untuk orang miskin. 

“Ia mestilah kisah baharu satu bandar yang inklusif, direka untuk memupuk inovasi, menggalak kemampanan dan memastikan industri ini kekal berdaya saing di pentas global,” katanya merasmikan Majlis Pembukaan Meja Bulat Menteri ASEAN-China Mengenai Pembinaan dan Perumahan 2024 (ACMROCH) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini. 

Turut diadakan Pameran Bangunan dan Rekaan Dalaman 2024 (ARCHIDEX) yang berlangsung dari hari ini sehingga 6 Julai, melibatkan 700 pempamer tempatan dan antarabangsa merentasi lebih 1,500 reruai pameran, serta 40,000 pelawat dari lebih 100 negara.

ARCHIDEX menawarkan pelbagai tema pameran yang disesuaikan dengan keperluan industri, termasuk teknologi audiovisual dan pencahayaan, Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) serta Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia kini menghadapi cabaran baharu untuk mengekalkan kelebihan daya saing dalam industri pembinaan dan perumahan yang kompleks. 

Jelasnya, keadaan itu menyaksikan aspek mesra alam berdepan isu ketidaksamaan, peminggiran, kekurangan, hak orang miskin, terpinggir dalam persekitaran bandar.

Katanya, Malaysia juga perlu memastikan keperluan digital yang mendalam dari segi teknologi khususnya dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI).

“Kita memerlukan tenaga kerja mahir dan pematuhan peraturan. Kita faham perlu menjangka turun naik dalam permintaan pasaran. Tetapi, saya juga mesti menekankan aspek kerancakan budaya. 

“Saya gembira mengetahui bahawa ramai arkitek tempatan komited untuk memastikan apa yang dibina adalah bukan sekadar hutan konkrit yang mana semuanya sama di seluruh dunia. 

“Ia mesti mempunyai watak dan semangat budaya dalam konteks Malaysia yang mencerminkan komuniti semua kaum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN