Pemuda diupah along bakar kereta peminjam didakwa di mahkamah

Pemuda diupah along bakar kereta peminjam didakwa di mahkamah

TERTUDUH diiringi anggota polis ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan api membabitkan kerugian berjumlah RM8,281.82.

Tertuduh, Yew Weng Dong, 25, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api yang menyebabkan kerosakan sebuah kereta Perodua Alza milik seorang wanita berusia 35 tahun.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 3.30 pagi di sebuah rumah bernombor di Taman Mengkuang, Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah pada 6 Jun 2024.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin memohon tarikh baharu untuk serahan dokumen dan mencadangkan jaminan RM20,000.

Peguam Dan Francis yang merayu jumlah jaminan rendah dengan alasan keluarga anak guamnya tidak berkemampuan.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin bercagar berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi sehingga kes selesai dan menetapkan 5 Ogos ini untuk serahan dokumen.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai mengambil upah daripada sindiket along di Singapura dengan bayaran RM1,000 untuk melakukan kes khianat menggunakan bom petrol buatan sendiri.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek mendakwa mempelajari cara membuat bom petrol melalui laman sosial dan mengambil upah kerana mahu melangsaikan hutang along selepas terlibat dengan judi di Genting Highlands, Pahang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×