Pesawah rugi RM10,000 susu getah tumpah dalam bendang

Pesawah rugi RM10,000 susu getah tumpah dalam bendang

MUHAMAD Shafie menunjukkan bendangnya bertukar menjadi putih akibat tumpahan susu getah susulan kemalangan di Lebuhraya PLUS, Hutan Kampung di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang pesawah rugi kira-kira RM10,000 berikutan bendang diusahakannya dicemari tumpahan susu getah daripada sebuah treler yang terbabas di Kilometer 41.2, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Hutan Kampung, Sabtu lalu.

Menurut Muhamad Shafie, 65, kawasan bendangnya seluas 1.15 hektar kini bertukar warna kepada putih sementara tanaman padi yang baru dibaja menjadi kemerah-merahan akibat tumpahan itu.

Malah katanya, tumbuhan lain di kawasan berhampiran seperti kangkung juga mati sekali gus memberi gambaran seolah-olah padinya akan mengalami nasib sama.

“Lori itu terbabas pada petang Sabtu namun saya hanya tahu keesokan harinya menerusi seorang rakan yang menelefon. Dia memaklumkan kawasan sawah saya sudah bertukar warna putih akibat tumpahan susu getah.

“Lantaran itu, saya bergegas ke sini dan melihat sendiri treler tersebut yang masih belum dialihkan. Di situ juga saya bertemu dengan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan keterangan saya diambil.

“Selain itu saya juga sempat bertemu dengan pemilik lori tersebut. Setakat ini perbincangan masih diadakan untuk dia membayar ganti rugi berikutan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang, treler membawa susu getah dari Hatyai, Thailand ke Pelabuhan Pulau Pinang terbalik menyebabkan 40,000 liter susu getah atau lateks yang diletakkan dalam dua kontena, tumpah ke dalam parit.

Menurut Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab, susu getah itu pada mulanya hanya memasuki parit berhampiran yang dianggarkan sepanjang 300 meter namun tumpahan itu didapati mengalir semakin jauh hingga ke jarak melebihi 500 meter.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×