Kegiatan penyeludupan diesel di sempadan Kelantan lumpuh

Kegiatan penyeludupan diesel di sempadan Kelantan lumpuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penyasaran subsidi diesel sejak 10 Jun lalu berjaya melumpuhkan aktiviti penyeludupan bahan api itu ke Thailand yang telah bertapak di negeri ini sejak puluhan tahun lalu.

Situasi itu dapat dilihat apabila jualan bahan bakar di Rantau Panjang (Pasir Mas) dan Pengkalan Kubor (Tumpat) susut kira-kira 8,000 liter sehari.

Andaian itu mengambil kira jualan di empat buah stesen minyak di Rantau Panjang dan tiga di Pengkalan Kubor (Tumpat) menyusut sebanyak 1,000 liter sehari apabila penyeludup tidak ‘menyerbu’ lokasi itu membeli bahan bakar untuk diseleweng ke negara jiran menggunakan pangkalan haram yang terdapat di sepajang Sungai Golok.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang pengusaha yang mahu dikenali sebagai Din, 45, berkata, sebelum langkah itu dikuatkuasakan stesen minyaknya mampu menjual bahan api itu sehingga 4,000 liter sehari.

Menurutnya, sejak penyasaran itu penduduk tempatan yang menggunakan trak pikap dan kenderaan diesel mula berjimat-cermat.

“Situasi itu menyebabkan secara purata saya hanya menjual sekitar 3,000 liter sehari.

“Bagaimanapun, jumlah jualan akan naik kepada 4,000 liter pada hujung minggu bermula Jumaat, Sabtu dan Ahad. Hal ini kerana, ramai warga tempatan masuk ke negara jiran untuk ‘makan angin’” ujarnya kepada Utusan Malaysia.

Din memberitahu, selepas penyasaran itu jumlah trak pikap milik rakyat Thailand semakin kurang masuk ke negara ini untuk membeli bahan api itu.

Katanya, hal ini kerana harga bahan bakar itu dijual hampir sama dengan Thailand.

“Premis saya tidak menjual bahan api diesel kepada kenderaan Thailand kecuali van pelancongan. Kita mengikut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan dengan menjual 20 liter sahaja kepada mereka,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha yang mahu dikenali sebagai Amir mengakui jualan diesel di premisnya merosot sebanyak 2,000 liter sehari.

“Setiap bulan kuota diesel yang dibekalkan kepada premis saya sebanyak 250,000 liter sebulan. Sebelum penyasaran subsidi, saya boleh jual 8,000 diesel sehari.

“Selepas 10 Jun lalu, saya hanya menjual sekitar 6,000 liter,” katanya.

Ujarnya, pengenalan langkah itu menyaskikan aktiviti penyeludupan bahan bakar tersebut mulai berkurangan dari semasa ke semasa.

Amir berkata, kebanyakan penyeludup menggunakan kereta sedan yang diubah suai dengan tangki tambahan untuk tujuan berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati penyasaran subsidi yang dikuatkuasakan menyaksikan pam diesel di beberapa stesen minyak sekitar sempadan Malaysia-Thailand di sini lengang.

Tinjauan yang dilakukan selama satu jam itu mendapati tiada kelibat trak pikap milik warga Thailand masuk untuk membuat isian bahan api itu.
Sebelum ini, trak pikap Thailand silih berganti masuk ke sini untuk membuat isian bahan api berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN