Dadah: Suri rumah terlepas tali gantung, suami diarah bela diri - Utusan Malaysia

Dadah: Suri rumah terlepas tali gantung, suami diarah bela diri

MOHINDER Singh diperintah membela diri atas lima pertuduhan termasuk mengedar dadah lima tahun lalu di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang ahli perniagaan diperintah bela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas lima pertuduhan termasuk mengedar dadah jenis heroin dan monoacetyimorphines, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohinder Singh, 45.

Pada prosiding sama, mahkamah turut melepas dan membebaskan isteri lelaki itu, G. Peramla, 54, tanpa dipanggil membela diri.

Keputusan terhadap suri rumah itu dibuat selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wanita tersebut mempunyai niat bersama melakukan kesalahan berkenaan.

Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, Mohinder didapati mempunyai jagaan dan kawalan terhadap beg plastik mengandungi barang kes berupa dadah yang dijumpai di dalam kereta jenis Proton Inspira.

Katanya, berdasarkan keterangan dua saksi pendakwaan iaitu anggota polis, hanya tertuduh yang dilihat memegang dan meletakkan bungkusan plastik mengandungi dadah itu ke dalam bonet kereta.

“Keterangan daripada saksi pendakwaan keenam dan kelapan menunjukkan yang tertuduh mempunyai milikan secara fizikal kerana beg plastik itu dipegang dengan tangan kanannya, dibawa ke kereta dan diletakkan ke dalam bonet.

“Tiada orang lain dilihat mengendalikan beg plastik tersebut pada ketika itu melainkan tertuduh sahaja.

“Mengambil kira faktor bahawa beg plastik itu dipegang dan diletakkan sendiri oleh tertuduh ke dalam bonet, maka jelas ia dapat mengaitkan tertuduh secara langsung terhadap barang kes iaitu dadah yang ditemukan dalam beg plastik tersebut.

“Oleh itu, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dan tertuduh diarah untuk membela diri,” ujar beliau dalam prosiding di akhir kes pendakwaan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Mohinder kemudiannya diberi tiga pilihan iaitu pertama, berdiam diri; kedua, memberi keterangan di dalam kandang tertuduh di mana keterangan secara tidak bersumpah atau memberi keterangan bersumpah di kandang saksi yang boleh disoal balas.

Peguam tertuduh, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin memaklumkan bahawa anak guamnya itu akan memberi keterangan bersumpah di kandang saksi dan mengemukakan empat saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan untuk perbicaraan nanti.

Hakim Abdul Wahab menetapkan 28 dan 29 Ogos depan untuk tarikh perbicaraan bagi peringkat pembelaan.

Selain Wan Azman, tertuduh turut diwakili Effa Azwin Aidrul Hisham dan
Hartrisha Kaur Sandhu manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Akmal Mod Said dan Liyana Zawani Mohd. Radzi.

Berdasarkan pertuduhan, Mohinder didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah berbahaya seberat 1,322.9 gram (243.4 gram heroin dan 1,079.5 gram monoacetyimorphines).

Dia juga didakwa bagi pertuduhan di bawah Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 kerana memiliki 60.55 kilogram (kg) serbuk kafein, 93 mililiter cecair kafein dan 10.74kg chloroquine.

Selain itu, Mohinder turut didakwa bersama isterinya di bawah Seksyen 39B(1)(a) kerana mengedar dadah berbahaya seberat 524.1 gram (38.7 gram heroin dan 485.4 gram monoacetyimorphines).

Kesemua perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Bandar Baru Sri Klebang, Chemor di dalam daerah Kinta pada pukul 6.25 petang, 22 November 2019. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×