LOS ANGELES: Black Entertainment Television (BET) tampil memohon maaf selepas insiden memalukan menimpa penyanyi, Usher semasa penganjuran anugerah BET, baru-baru ini.
BET dalam kenyataan memaklumkan pihaknya kesal apabila audio ucapan penyanyi itu selepas menerima salah satu anugerah malam itu terpadam akibat gangguan teknikal.
“Penghormatan untuk kami kerana meraikan ikon global, Usher menerusi penganugerahan selain mendapatkan beliau ke atas pentas untuk berkongsi ucapannya.
“Tetapi, amat mendukacitakan apabila sebahagian ucapannya tidak kedengaran di kaca televisyen ekoran masalah teknikal.
“Kami memohon maaf kepada Usher dan ingin memaklumkan BET amat bersyukur dengan penyertaan beliau pada malam tersebut. Peminat kini boleh mendengarkan ucapan penuh beliau di semua platform kami,” kongsi BET.
Penyanyi berusia 45 tahun itu pada malam gilang gemilang berkenaan dipilih sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.
Namun keadaan bertukar cemas apabila berlaku gangguan audio siaran langsung ketika penyanyi itu berucap di atas pentas selepas menerima anugerah tersebut.
Dalam pada itu, Usher pada malam itu turut menggondol anugerah penyanyi R&B/Pop lelaki terbaik.











