KUALA LUMPUR: Aktor berbakat besar, Hisyam Hamid mengakui disiplin kerja dan tahap profesionalisme yang baik penting untuk kelangsungan kerjaya seorang pelakon.
Hisyam yang ditemui baru-baru ini berkata, dua perkara itu adalah antara sebab mengapa dia masih bertahan dan terus diberi kepercayaan untuk menjayakan sebuah drama atau filem.
“Perkara itu saya jaga dari dulu sampai sekarang. Ia adalah tanggungjawab setiap pelakon.
“Kita kena beri sebab kenapa syarikat produksi mahu bekerja dengan kita. Salah satu caranya adalah dengan mengekalkan disiplin dan profesionalisme.
“Dua perkara itu penting untuk memastikan penggambaran drama atau filem pasti berjalan lancar,” katanya.
Populariti Hisyam dalam dunia lakonan tempatan melonjak selepas kejayaan drama Ariana Rose pada tahun 2014.
Pelakon asal Singapura itu dikategorikan sebagai antara aktor paling laris dengan pembabitan lebih 35 drama, termasuk yang terbaru, Bunga Salju.
Kata Hisyam, niat juga antara perkara penting yang membuatkan seseorang pelakon itu bertahan lama.
“Saya nak cari rezeki dengan berlakon. Itu niat yang saya tetapkan sejak awal ke Malaysia dulu.
“Saya bernasib baik kerana drama Ariana Rose mendapat sambutan luar biasa. Sejak selepas itu, satu demi satu tawaran berlakon saya terima.
“Sebab itu sampai sekarang saya jaga disiplin dan profesionalisme. Saya mahu kerjaya saya bertahan,” kongsinya.











