JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen negeri ini melumpuhkan sindiket pemalsuan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) apabila menahan lima individu termasuk seorang wanita Myanmar dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Kluang, Rabu lalu.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, dalam operasi pukul 11.30 pagi itu, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 26 hingga 49 tahun.
Katanya, sindiket yang beroperasi sejak enam tahun lalu itu dipercayai mengenakan bayaran RM5,000 kepada setiap individu bagi mendapatkan kad UNHCR tersebut.
“Hasil pemeriksaan terhadap rumah kedai dua tingkat itu, kita telah menahan empat lelaki dan seorang wanita warga Myanmar, salah seorang yang ditahan merupakan dalang sindiket tersebut.
“Dalam operasi itu, turut ditemui tiga lelaki warga Myanmar yang dikurung di premis tersebut sejak dua minggu lalu sebaik tiba di negeri ini dan tidak dibenarkan keluar,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Setia Tropika, di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, pihaknya merampas dua naskhah pasport Myanmar, 12 keping Kad Arakan, sebuah telefon pintar jenama Oppo, helaian borang pendaftaran UNHCR dan wang tunai berjumlah RM15,855.
Tiga lelaki Myanmar yang dikurung itu dipercayai masuk ke negeri melalui lorong tikus dan dikurung sehingga sindiket dapat mencari majikan yang mahu mengambil mereka bekerja secara haram.
Menurut Mohd. Rusdi, pergerakan sindiket itu tidak begitu dikenali dan sukar dikesan kerana mereka hanya menyasarkan etnik Arakan dari negara tersebut untuk bekerja di negara ini, namun mempunyai masalah dokumen perjalanan.
Sindiket tersebut mengenakan bayaran berjumlah RM5,000 termasuk proses permohonan kad Arakan yang tertera logo UNHCR yang membolehkan mereka tinggal di negara ini.
“Kita masih belum dapat mengesahkan sama ada kad Arakan yang mempunyai logo UNHCR itu palsu atau sebaliknya. Kita akan berhubung dengan pihak UNHCR bagi mendapat pengesahan daripada mereka,” katanya sambil memberitahu semua suspek melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
Katanya, dalang sindiket tersebut turut disiasat di bawah Seksyen yang sama serta Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670). – UTUSAN










