MELAKA: Usaha melindungi dan memelihara sejarah Kesultanan Melayu Melaka perlu diteruskan untuk disanjung dan dihayati masyarakat terutama generasi akan datang.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pementasan Teater Hikayat Hang Tuah ‘Ampun Tuanku Titah Dijunjung’ yang berlangsung di Panggung Bangsawan di sini selama tiga hari berakhir malam tadi, merupakan antara usaha mendedahkan rakyat kepada sejarah Kesultanan Melayu Melaka.
Menurutnya, generasi akan datang perlu berusaha melindungi dan memelihara warisan sejarah yang terdapat di negeri ini bagi memastikannya terus bertahan.
“Slogan kerajaan negeri, ‘Bijak Laksana Tuah Berani Laksana Jebat’ akan menjadi ilham kepada semua penggiat seni dan rakyat Melaka bagi memastikan sejarah dan warisan ini dapat disambung pewaris pada masa depan.
“Negeri ini cukup kaya dengan sejarah, budayanya dan santunnya. Oleh itu generasi sekarang perlu mewarisi seni silat, adat dan budaya ketamadunan bangsa.
“Kesemua ini dipaparkan dalam Teater Hikayat Hang Tuah ‘Ampun Tuanku Titah
Dijunjung’ yang mengimbau semangat perjuangan legenda panglima Melaka,” katanya selepas menyaksikan teater itu.
Tambah Ab. Rauf, berdasarkan sambutan menggalakkan sepanjang tiga hari diadakan, ia akan dipentaskan semula dalam masa terdekat.
“Teater berkenaan diadakan semula bertujuan untuk menarik minat pengkaji-pengkaji sejarah dan penggiat seni dari seluruh negara untuk datang ke negeri ini. Sepanjang tiga hari pementasan teater berlangsung, sebanyak 900 tiket terjual,” katanya. – UTUSAN











