Perkasa CBO bendung kes dera kanak-kanak, keganasan rumah tangga

Perkasa CBO bendung kes dera kanak-kanak, keganasan rumah tangga

NANCY (tengah) melawat reruai ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Menteri KPWKM Bersama Kumpulan Sasar di Sungai Kechil, Nibong Tebal, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Organisasi berasaskan komuniti (CBO) akan terus diperkasa bagi menggerakkan peranannya sebagai rakan strategik kementerian dalam usaha membendung kes penderaan kanak-kanak serta keganasan rumah tangga dalam komuniti tersebut.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, dalam hal ini, pihaknya akan sentiasa menyampaikan penerangan selain membantu CBO yang membabitkan ketua di peringkat komuniti termasuklah menyediakan nombor telefon penting bagi masyarakat untuk mendapatkan bantuan.

“Malah, kita ada juga memperkasakan komuniti terutama sekali ketua-ketua masyarakat yang berada di sana dan ketua kerajaan serta ketua-ketua NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang berada di mana-mana tempat.

“Pada masa yang sama, kita telah melancarkan CBO ini di beberapa kawasan dan daerah di mana kita melancarkan diari dan direktori berkaitan bagi membolehkan orang ramai mengadu serta merujuk kepada mereka kalau berlaku sesuatu.

“Jadi, sebab itulah kadang-kadang, kita dapat melihat aduan adalah datang daripada komuniti setempat kerana ia menunjukkan kejayaan dari segi apa yang telah kita uar-uarkan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Menteri KPWKM Bersama Kumpulan Sasar di Sungai Kechil, Nibong Tebal di sini, hari ini.

Pada majlis yang sama, Nancy turut menyerahkan bantuan kewangan kerajaan berjumlah RM558,723.60 kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Puteri Gunung bagi menampung pemberian elaun pelatih Orang Kurang Upaya (OKU), saguhati penyelia dan petugas, sewaan premis serta utiliti.

Sementara itu, Nancy berkata, perhatian terhadap kepentingan kebajikan OKU turut diberikan penekanan apabila kerajaan menyalurkan lebih RM133.5 juta kepada PPDK seluruh negara sehingga April lalu.

Katanya, sebanyak 570 PPDK di seluruh negara berperanan dalam pembangunan komuniti setempat bagi pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial untuk golongan OKU.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×