Parlimen Pulai laksana program Anak Angkat Berjaya Akademik - Utusan Malaysia

Parlimen Pulai laksana program Anak Angkat Berjaya Akademik

SUHAIZAN Kaiat beramah mesra dengan pelajar yang menghadiri Majlis Pelancaran Anak Angkat Berjaya Akademik di SMK Bandar Uda Utama, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parlimen Pulai  melaksanakan program Anak Angkat Berjaya Akademik bagi  menangani isu keciciran pelajar dan mempertingkatkan kehadiran golongan tersebut ke sekolah.

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, seramai 39 pelajar dalam kawasan parlimen berkenaan terpilih mengikuti program tersebut.

“Sebanyak RM53,000 diperuntukkan dalam tempoh tiga bulan untuk membantu pelajar yang tercicir dalam pelajaran kerana tidak hadir ke sekolah atas beberapa alasan.

“Kesemua mereka terdiri daripada keluarga B40 yang memerlukan perhatian dan bimbingan bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan program Anak Angkat Berjaya Akademik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Uda Utama, di sini hari ini.

Suhaizan berkata, para pelajar tersebut perlu diberi perhatian untuk hadir ke sekolah dan menghadapi peperiksaan demi masa depan mereka.

Menurutnya,  antara punca 39 pelajar itu tercicir dan tidak hadir ke sekolah disebabkan masalah kewangan, tidak mampu membayar kos pengangkutan, menjaga ahli keluarga yang sakit, tiada duit poket dan masalah kesihatan.

“Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru dapatkan maklumat setiap pelajar yang memerlukan (bantuan) kewangan bagi yang akan menghadapi SPM tahun ini. Setiap pelajar akan dinilai berapa kos kewangan yang diperlukan dan setiap tiga bulan akan menilai sehingga peperiksaan SPM,” katanya.

Beliau berkata, program itu dilaksanakan ekoran ketidakhadiran pelajar yang tidak mengambil SPM 2023 sedangkan mereka mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut.

Walaupun jumlah yang tidak hadir kecil, khususnya di kawasan Parlimen Pulai, namun situasi itu amat membimbangkan dan perlu diberikan perhatian serius.

“Sebagai Ahli Parlimen Pulai, saya akan memastikan tidak ada lagi pelajar yang tercicir ke sekolah untuk mengambil SPM pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×