BUKIT GANTANG: Yang Dipertua Dewan Rakyat diyakini tidak akan terpengaruh dengan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong kerana wakil rakyatnya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal berkata, ini kerana Yang Dipertua atau Speaker setiap Dewan mempunyai kuasa sendiri dalam membuat keputusan berkaitan Dewan masing-masing.
Beliau berkata, terpulang kepada Speaker sesebuah dewan untuk membuat keputusan berdasarkan hujah-hujahnya ketika membuat keputusan.
“(DUN Kelantan mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong) Itu hak Speaker DUN berkenaan dan Speaker (Dewan Rakyat) mempunyai hak untuk membuat keputusan.
“Beliau (Speaker Dewan Rakyat) tidak terpengaruh dengan apa yang berlaku di DUN (Kelantan),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Syed Abu Hussin mengulas mengenai keputusan DUN Kelantan yang mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong sehingga membawa kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan yang ditetapkan 17 Ogos ini.
Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah membuat keputusan itu selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis daripada Bersatu kerana ADUN Bersatu, Mohd. Azizi Abu Naim hilang keahlian Bersatu.
Syed Abu Hussin antara enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri selain Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi.
Berikutan itu, Bersatu menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menuntut kerusi enam Ahli Parlimen parti itu yang menyokong Perdana Menteri dikosongkan.
Syed Abu Hussin berkata, beliau dan ahli Parlimen yang terlibat sudah menghantar surat penjelasan kepada Speaker Dewan Rakyat berhubung tuntutan Bersatu itu.
Menurutnya, surat itu bagi memudahkan Speaker membuat pertimbangan dalam membuat keputusan nanti.
“Dalam surat tersebut kami menyatakan Bersatu yang mengeluarkan nama kami daripada senarai keahlian parti. Ini bermakna kami dipecat dan sekarang merupakan anggota Bebas Dewan Rakyat,” katanya.
Sementara itu, Syed Abu Hussin mengulangi pendirian beliau dan lima lagi Ahli Parlimen Bersatu tidak melanggar Perlembagaan sehingga menyebabkan kerusi mereka boleh diisytiharkan kosong.
Katanya, mengikut pindaan Perlembagaan anti lompat, terdapat tiga suasana yang boleh menyebabkan ahli parlimen perlu mengosongkan kerusi iaitu apabila melepaskan keanggotaan parti, tidak lagi menjadi anggota parti dan menyertai satu parti politik sebagai anggota parti.
“Dalam ketiga-tiga suasana, ini kami tidak buat apa apa keputusan. Kami tak melepaskan keanggotaan parti, kami tak pernah menyatakan kami bukan ahli parti dan kami tak pernah kata kami bukan ahli Bersatu,” katanya.
Jelasnya, tindakan Bersatu meminda perlembagaan parti juga tidak terpakai kepada wakil rakyat parti itu yang menyatakan sokongan lebih awal kepada kerajaan.
“Pindaan perlembagaan parti hanya berkuat kuasa 1 April lalu, maka pindaan itu tidak boleh dikenakan terhadap kami, maknanya nak patah balik belakang tak boleh,” katanya.
Ditanya kemungkinan berlaku PRK di enam kerusi Parlimen yang terlibat termasuk di Bukit Gantang, Syed Abu Hussin berkata, beliau sedia untuk mempertahankan kerusi parlimen yang disandangnya jika berlaku PRK.- UTUSAN










