PETALING JAYA: Dakwaan terdapat pihak pentabir sekolah memberi arahan ‘mengarut’ kepada guru-guru sehingga mereka sanggup memilih bersara awal adalah benar.
Setiausaha Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad berkata, dakwaan tersebut benar berdasarkan pengalaman beliau semasa menjawat tugas sebagai guru sekolah.
“Dulu, saya juga seorang guru sekolah. Saya sendiri ada pengalaman ini. Bila ada guru-guru mahu memperbetulkan arahan pentadbir yang ‘mengarut’, memang cari nahaslah jawabnya.
“Kalau ada yang mahu tanya apa maksudnya arahan ‘mengarut’, itu tandanya anda bukan seorang guru, atau anda seorang guru yang belum cukup lama berkhidmat di sekolah.
“Semua guru yang lama berkhidmat tahu dalam organisasi sesetengah sekolah memang ada pentadbir dengan arahan mengarut,” katanyadi Facebook, semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, tekanan pengurusan sekolah termasuk arahan yang dianggap ‘mengarut’ antara faktor menyebabkan segelintir guru memilih bersara awal.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, guru terutamanya mereka yang sudah berusia akan seronok untuk meneruskan kerjaya masing-masing jika pengurusan sekolah bagus.
Bagaimanapun, menurut beliau, pengurusan yang gagal mewujudkan iklim dan persekitaran yang kondusif boleh mewujudkan keadaan yang sebaliknya.
Mengulas lanjut, Dr. Anuar yang kini Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, arahan ‘mengarut’ menjadi budaya dan amalan kerana tiada yang berani bersuara untuk memperbetulkan keadaan tersebut.
“Di depan mengangguk, di belakang mengutuk. Akhirnya, organisasi sekolah sebegini menjadi tidak berkesan.
“Cubalah sekali sekala Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) semak sekolah mana yang guru-gurunya bertali arus isi borang mohon bersara awal pada setiap tahun, manalah tahu nanti nampak puncanya,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) dilaporkan mengambil pelbagai pendekatan serta mekanisme untuk menaikkan semangat dan motivasi guru bagi mengelakkan mereka terus memilih untuk bersara awal.- UTUSAN








