PUTRAJAYA: Penganjur yang juga Ketua Penggerak Demi Negara, Aidil Yunus mengesahkan beliau dikehendaki hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya esok susulan penganjuran ‘Himpunan Rakyat Lawan Anwar’, petang semalam.
Beliau yang dikenali sebagai YB Viral berkata, beliau telah dihubungi oleh pegawai polis IPD Putrajaya hari ini berhubung perkara itu.
Katanya, selain beliau, individu lain yang berucap pada himpunan sama juga akan dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis.
“Esok (petang esok) semua yang bercakap di demo (himpunan) semalam dan pihak penganjur kena hadir IPD Putrajaya untuk disiasat. Sidang akhbar akan diadakan pada pukul 3.30 petang esok di luar IPD Putrajaya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau juga mengesahkan akan hadir ke IPD Putrajaya pukul 2 petang esok bersama-sama individu lain yang berucap pada himpunan itu.
Antara individu yang berucap pada himpunan semalam termasuk aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard; Ahli Jawatankuasa Badan Pimpinan Negeri, Bersatu Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali.
Individu lain termasuk Mohd Zubir Embong, Alex Shee, Michelle Foo, Dayangku Intan dan Olivia (Mak Iban Olivia) serta beberapa lagi individu.
Perhimpunan pusingan pertama Himpunan Rakyat Lawan Anwar di perkarangan Kompleks Seri Perdana, Presint 10 itu disertai sekitar 300 peserta.
Himpunan bermula pukul 5 itu berakhir pukul 6.40 petang dengan kawalan ketat oleh anggota polis daripada IPD Putrajaya dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Media sebelum ini melaporkan perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku pemilik lokasi berhimpun. Bagaimanapun, penganjur merasakan mereka berhak untuk berhimpun dan tidak menyalahi peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012. – UTUSAN











