ALOR GAJAH: Tahap kesedaran mengenai aspek keselamatan dalam kalangan penggiat industri pelancongan di negara ini masih rendah, kata Setiausaha Eksekutif Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Hanif Maidin.
Menurutnya, rata-rata mereka tidak mengambil serius jika dibandingkan dengan sektor pembinaan dan pembuatan yang sering berlakunya kemalangan meragut nyawa atau hilang upaya di tempat kerja.
Beliau berkata, NIOSH akan memberi khidmat nasihat kepada penggiat industri pelancongan berhubung Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang mula dikuatkuasakan 1 Jun lalu.
“NIOSH akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi meningkatkan lagi tahap kesedaran keselamatan di tempat tumpuan pelancong di seluruh negara.
“Penguatkuasaan akta yang telah diluluskan di Parlimen pada 16 Mac 2022 mewajibkan majikan menganalisis risiko di tempat kerja dan melantik penyelaras keselamatan kesihatan.
“Justeru bagi penggiat industri pelancongan perlu menitik-beratkan akta yang mula dikuatkuasakan awal bulan ini, walaupun tumpuan utama di Sabah yang mempunyai banyak aktiviti air,” katanya ketika hadir pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) NIOSH, Pembersihan Pantai di Pengkalan Balak di sini, hari ini.
Kira-kira 100 sukarelawan NIOSH dan pelajar Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Melaka berjaya mengutip 39.5 kilogram (kg) sampah.
Tambah Hanif, berdasarkan rekod Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), sektor hotel dan restoran mencatatkan 176 kes kemalangan kategori tidak hilang upaya kekal bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022. – UTUSAN










