BAHASA dan puisi tidak dapat dipisahkan seperti irama dan lagu. Ia saling berkait rapat bagi menzahirkan ungkapan yang beraneka melalui pengucapan puisi termasuk genre sajak yang semakin diminati penulis muda hari ini.
Bagaimanapun, tidak ramai yang cuba memperkatakan tentang penggunaan bahasa dalam puisi ini kerana ramai beranggapan ia perkara enteng dan tidak wajar diambil berat lantaran kebebasan penggunaaan bahasa adalah menjadi hak milik setiap individu.
Program Santai Sastera yang julung kali diadakan anjuran grup WhatsApp Penyair kelolaan penyair mapan, Nawawee Mohammad yang bertempat di Balai Kartun Rossem (BKR) Peringat, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini hangat membicarakan persoalan isu penggunaan bahasa dalam puisi khususnya sajak.
Lebih 30 penyair lama dan baru hadir antaranya Wan A Rafar, Darma Mohammad, Abham TR, Leo AWS, Mazli Husma, Maroof Seman RS, Ezane Daud, Mokhtar Taib, Ghazali Sulong, Zainal Abidin Muhamad, Oui Bin Sal,
Noorlaila Ghafar, Umi Solehah dan beberapa penulis lain dari sekitar Kelantan dan Terengganu.
Penggunaan bahasa dalam puisi dibentangkan penyair Mazli Husma bagi memberi pencerahan bahawa aspek bahasa perlu diambil berat dalam berkarya penciptaan puisi bagi menajamkan lagi hasil karya yang dipersembahkan kepada pembaca.
Menurut Mazli, ‘licentia poitika’ atau hak khusus dalam menulis sastera menjadi suatu isu yang sering diperdebatkan oleh penulis sajak dan penyair tetapi ia tidak diambil berat.
Dengan mengambil petikan kata-kata penyair dari seberang, Pak Sapardi Djoko Damono, penyair memang sering dikatakan bisa menciptakan bahasa baharu kerana memiliki licentia poitika’ ini. Setidak-tidaknya mampu dan memiliki hak untuk menciptakan ungkapan baru, tetapi tidak mungkin ia menulis dalam bahasa masa akan datang yang belum diketahui ke arah mana perkembangannya.
Sebab itu, dikatakan bahawa perkembangan puisi erat kaitannya dengan perkembangan bahasa.
Mazli yang juga pesara guru dan pemeriksa kertas Bahasa Melayu Tingkatan 6 berkata, berikutan itu ada penyair mutakhir ini melupakan saja peraturan bahasa baku yang dianggap mengongkong kebebasan bahasa puisi dalam penulisan karya mereka.
Mereka seolah-olah merasa bebas dan lebih berkesan apabila tidak terikat dengan peraturan bahasa baku dalam menyampaikan mesej lewat penulisan sajak itu.
Pernyataan ini turut disokong Presiden Penyair Indonesia, Pak Sutardji Calzoum Bachri dengan memberi contoh penyair muda Indonesia M. AAN Mansyur dan Yuanda Isya melalui buku puisinya Mengapa luka tidak memaafkan pisau.

Mereka mempunyai ungkapan segar dan baharu dan terlepas daripada pengaruh penyair mapan sebelumnya.
Penyair mapan, Wan A Rafar bersetuju penggunaan bahasa baku dalam penulisan puisi perlu diteruskan kerana ia melambangkan bahasa jiwa bangsa yang tidak luntur dek hujan dan tidak lekang dek panas.
Bagaimanapun, kebebasan perlu diberikan dalam penulisan sajak kerana ia akan menambahkan makna yang tersirat selagi tidak melanggar etika bahasa kebangsaan yang diperjuangkan selama ini.
Sementara itu, Nawawee berpendapat bahasa adalah aspek penting yang tidak boleh dipandang ringan oleh setiap penulis ketika berkarya kerana ia berkait rapat dengan identiti bangsa itu sendiri.
“Justeru, saya mengambil kesempatan melalui program Santai Sastera yang dianjurkan ini untuk memberi peluang kepada Mazli Husma menjelaskan secara terperinci aspek penggunaan bahasa lewat karya supaya penulis muda terutamanya sentiasa mematuhinya,” katanya.
Dalam pada itu, penulis baharu, Umi Solehah pula mengharapkan ada usaha daripada pihak tertentu untuk menyemarakkan musikalisasi puisi dengan menghidupkan nyanyian lagu-lagu puisi kerana ia boleh menarik lebih ramai masyarakat kepada puisi.
Baginya, pengucapan puisi secara berlagu seperti yang pernah dilakukan oleh Zubir Ali, J M Aziz, Datuk Dr. Aripin Said, Kopratasa suatu ketika dahulu sangat berkesan di jiwa pendengar sehingga lagu-lagu mereka sentiasa bermain di bibir masyarakat sehingga ke hari ini.
Bagaimanapun, katanya, kini senario itu seakan lesu kerana tiada lagi pelapis baharu.
Pada Santai Sastera itu juga, penyair Leo AWS tidak dapat menahan sebak apabila membaca puisinya berjudul Konvo dengan penuh emosi terutama apabila mengungkapkan di stanza ibu dan bapanya yang telah lama pergi dan dia dibesarkan dalam keadaan yatim piatu. -UTUSAN










