TIBW 2024: Tempahan hotel di Terengganu meningkat 80 peratus - Utusan Malaysia

TIBW 2024: Tempahan hotel di Terengganu meningkat 80 peratus

SEBAHAGIAN daripada penunggang motosikal berkuasa tinggi yang hadir memeriahkan TIBW 2024 di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, semalam. UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kadar tempahan penginapan di 36 hotel di bawah Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu meningkat 80 peratus sepanjang penganjuran Program Terengganu International Bike Week (TIBW) 2024 yang bermula Rabu lalu.

Pengerusi MAH Terengganu, Suaibah Harun berkata, setakat ini beberapa hotel telah menunjukkan tempahan bilik penginapan dengan purata 60 hingga 70 peratus.

Menurutnya, jumlah itu dijangka terus meningkat hingga Ahad ini kerana program tersebut turut mempunyai pelbagai aturcara yang menarik untuk dikunjungi orang ramai terutama peminat sukan permotoran.

“Ini adalah tahun ke-12 penganjurannya dan sudah tentulah TIBW 2024 sudah mempunyai peminatnya yang datang dari seluruh negara.

“Buat pertama kali juga program ini dipanjangkan dari tiga hari kepada lima hari dan program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) ini mampu memberi impak besar kepada sektor pelancongan negeri sekali gus merancakkan industri perhotelan di Terengganu

“Operator hotel di bawah MAH Terengganu telah bersedia menerima limpahan pengunjung dalam cuti panjang kali ini untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pengunjung sepanjang TIBW 2024 berlangsung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Pada tahun ini, semua acara dan aktiviti program tersebut dibuat di Dataran Shah Bandar termasuk acara makan malam dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Antara yang menarik di booth jualan dan pameran TIBW 2024 ialah pelbagai aksesori motorsikal termasuk pameran motor berkuasa tinggi, motor klasik, skuter cantik serta pameran daripada agensi kerajaan dan ada jualan produk usahawan tempatan.

Mengulas lanjut, Suaibah berkata, TIBW 2024 adalah antara aktiviti kalendar pelancongan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh rakyat Terengganu terutama penggiat industri perindustrian.

“MAH Terengganu juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana penganjur yang ingin menjalin kolaborasi dalam mendapatkan pakej penginapan terbaik sepanjang pengunjung berada di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×