KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei sedia menerima segala tunjuk ajar Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
Bagaimanapun, pemain berusia 24 tahun itu mengalami sedikit kesukaran dalam bimbingan Rexy susulan jurulatih berasal Indonesia itu hanya akan membimbingnya ketika kejohanan berlangsung sahaja.
“Perasaan saya semasa dia (Nova Armanda) tidak mengikuti saya ke Paris, saya hanya mampu menerima apa jua keadaan yang berlaku.
“Sejujurnya saya kecewa selama tiga tahun saya berlatih bersama Nova, beliau tidak dapat lihat saya di Paris.
“Saya mengidolakan beliau (Rexy) dengan pingat emas beliau pada 1996 (Olimpik Atlanta). Jadi saya harus cepat menyesuaikan diri bila dibawah kendaliannya,” katanya ketika ditemui pemberita pada perlawanan persahabatan badminton di antara media dan pasukan Li-Ning di Sentosa Sports Arena, hari ini.
Terdahulu, Jin Wei terpaksa menelan pahit apabila jurulatihnya, Nova tidak akan mengikutinya ke Paris berikutan masalah kad akreditasi.
Justeru, Datuk Hamidin Mohd Amin selaku Ketua Kontinjen (CDM) sudah mengusulkan perkara itu kepada BAM dan Rexy akan bertanggungjawab kepada juara dunia remaja 2015 dan 2018 itu.
Dalam pada itu, Jin Wei mendedahkan beliau akan menimba ilmu bersama pemain perseorangan negara lain ketika di Paris berikutan Rexy hanya memantaunya ketika dalam gelanggang sahaja.
“Dia (Rexy) hanya bimbing saya di gelanggang semasa kejohanan. Kalau di luar saya hanya sendiri berlatih dan menganalisis permainan.
“Saya akan cuba belajar dari Lee Zii Jia dan pemain wanita yang lain untuk mendapatkan pengalaman semasa kejohanan berlangsung,” katanya lagi. – UTUSAN.










