Presiden UMNO kena berundur dahulu - Utusan Malaysia

Presiden UMNO kena berundur dahulu

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diminta melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO jika mahu menteri-menteri dalam parti itu meletak jawatan atas dasar kepentingan bersama.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd. Helmi Buang berkata, berundur setapak tidak bermaksud mengalah, namun apa yang perlu diperjuangkan semua pemimpin dan ahli adalah demi parti bukannya kepentingan individu tertentu.

Menurut beliau, muka-muka baharu perlu diberi ruang dan peluang mengikut arus zaman kerana UMNO sentiasa relevan tetapi pemimipin yang ada hari ini perlu sedar masa dan ketika mereka sudah habis untuk mengemudi parti.

“Merawat dan mengubati lebih baik daripada menyokong dan akhirnya sokongan itu membawa rebah. Pentingkan parti, yakinlah masih ramai lagi pejuang-pejuang UMNO yang akan memperjuangkan parti ini.

“Ramai ahli UMNO dan rakyat khususnya orang-orang Melayu masih mahu bergantung harap kepada parti ini yang sentiasa memperjuangkan agama Islam, bangsa Melayu dan tanah air selain menjaga kepentingan rakyat berbilang kaum,” katanya dalam kenyataan semalam.

Baru-baru ini, Ahmad Zahid mencabar pemimpin UMNO yang digelar sebagai `makhluk perosak’ meletakkan jawatan sebagai menteri ketika ucapannya dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada 26 dan 27 Mac lalu.

Rentetan itu, menteri-menteri UMNO mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meminta nasihat berhubung kedudukan mereka dalam Kabinet.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perhimpunan Agung UMNO tidak membuat usul untuk menteri-menteri UMNO meletakkan jawatan.

Situasi itu, menimbulkan kemelut baharu dalam UMNO apabila timbul percanggahan pendapat dalam kalangan pemimpinnya walaupun Perhimpunan Agung UMNO sudah melabuhkan tirainya termasuk desakan diadakan pemilihan parti dengan segera oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bagi menyelesaikan kemelut itu.

Dalam pada itu, Mohd. Helmi berkata, generasi baharu semakin ramai, pemikiran dan pendekatan semakin berubah, maka ini adalah hakikat yang perlu semua pihak terima dengan hati terbuka.

“Jangan sentiasa mendongak ke langit, pandang-pandanglah ke bawah. UMNO perlu bangkit dengan kepimpinan yang baharu dan segar.

“Tidak perlu letak jawatan, tetapi berundurlah dengan secara terhormat,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×