Malaysia bukan kerajaan junta tentera - Utusan Malaysia

Malaysia bukan kerajaan junta tentera

MOHAMAD HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan negara ini masih lagi kerajaan awam bukannya berstatus junta tentera jadi langkah kerajaan meminda ordinan bagi memberikan kuasa menambah perbelajaan tanpa Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) membimbangkan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hal ini kerana pelaksanaan darurat tidak boleh mengenepikan akauntabiliti dan ketelusan dalam apa juga keadaan dan ia wajar bertindak ikut peraturan yang sesuai dengan sifat sebuah kerajaan awam.

“Keabsahan tindakan pindaan ordinan tersebut tidak semestinya memberikan ia legitimasi moral. Sesuatu yang sah dalam darurat mestilah juga sesuatu yang dipandu dan diputuskan dengan nilai, moral dan prinsip.

“Apa lagi bila ia melibatkan perbelanjaan dana awam. Tiada keadaan walau serumit dan sesukar mana sekalipun, wajar melepaskan kerajaan daripada ‘rigorous scrutiny’ (pemeriksaan ketat) dalam membelanjakan wang rakyat dan hasil negara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohamat mengulas pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu (Pindaan) 2021 yang memberi kuasa kepada Perdana Menteri, Ketua Menteri atau Menteri Besar meluluskan perbelajaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

Ia diwartakan susulan Proklamasi Darurat dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, pada 11 Januari lalu berikutan pandemik Covid-19.

Sebelum ini, sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri berhubung perbelanjaan yang dipertanggungkan kepada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan atau Kumpulan Wang Disatukan bagi negeri serta perbelanjaan tambahan memerlukan satu akta atau enakmen atau ketetapan Dewan Rakyat atau DUN bagi negeri dan pengeluaran daripada mana-mana kumpulan wang itu.

Dalam pada itu, kata Mohamad, kerajaan mesti lebih berhati-hati dan bertanggungjawab membelanjakan hasil negara ketika tempoh darurat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×