Ahli perniagaan didenda RM200,000 guna gelaran Datuk palsu dari Pahang - Utusan Malaysia

Ahli perniagaan didenda RM200,000 guna gelaran Datuk palsu dari Pahang

SEORANG ahli perniagaan dijatuhi hukuman denda RM200,000 selepas mengakui bersalah terhadap pertuduhan pilihan menggunakan gelaran Datuk palsu dari Pahang di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang ahli perniagaan didenda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menggunakan gelaran Datuk palsu dari negeri Pahang.

Tertuduh, Mohammad Shaiful Nizam Abu, 41, mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan kesalahan berkenaan di sebuah premis kesihatan di Senai, Kulai pada 27 Januari 2021.

Sebelum itu, dia mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pada 28 April 2022 kerana menggunakan gelaran Datuk dan mempamerkan lambang Diraja Pahang tanpa kebenaran.

Walau bagaimanapun, tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah hari ini selepas diberikan pertuduhan pilihan.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, dia didakwa menggunakan suatu dokumen sebagai tulen, iaitu Watikah Penerima Darjah Kebesaran atau Pingat atau Anugerah Negeri Pahang Darul Makmur yang mana dokumen tersebut adalah dokumen palsu. 

Bagi pertuduhan pilihan kedua, dia didakwa menggunakan Lambang Darjah Indera Mahkota Negeri Pahang (DIMP) yang palsu pada kenderaan miliknya.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis kesihatan di Jalan Anak Bukit 1, Palm Resort Senai, Kulai pada pukul 11.30 pagi, 27 Januari 2021.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama  yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari meminta hukuman tinggi dikenakan kerana ia merupakan kesalahan serius yang boleh digunakan untuk menipu masyarakat awam.

Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim kemudian memerintahkan tertuduh dihukum denda RM100,000 bagi setiap kesalahan, menjadikan keseluruhan denda sebanyak RM200,000.

Mohammad Shaiful Nizam yang diwakili peguam bela, Jihad Syahida Nadia Zakaria dan Abd. Rahim Ali kemudian membayar denda tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×