KUALA LUMPUR : Polis mengesahkan empat lokasi yang dijadikan sarang pelacuran tegar di sekitar ibu kota yang menawarkan khidmat seks dengan harga murah kepada pelanggan sudah berada dalam radar utama pemantauan dan penguatkuasaan mereka.
Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, empat lokasi yang dimaksudkan ialah Jalan Petaling, Jalan Gelang, Jalan Pudu dan Hotel Richmoore.
“Memang hasrat kita adalah untuk menghapuskan tempat pelacuran, saya tidak mahu melihat sebarang aktiviti pelacuran di tepi jalan, jika dulu semua orang berhenti di tepi jalan semata-mata mahu melihat mereka ini berpeleseran di tepi jalan apatah kanak-kanak juga boleh tahu siapa mereka dan pekerjaannya.
“Polis akan mengambil tindakan secara berterusan bukan sahaja di lokasi berkenaan malah di lokasi lain yang turut dikenalpasti sebagai lubuk pelacuran di ibu negara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini hari ini.
Tambah Rusdi lagi, sebanyak 409 serbuan telah dilakukan pihaknya bagi membanteras aktiviti pelacuran di enam daerah di sekitar ibu negara bermula 1 Januari sehingga 23 Jun tahun ini.
Kata beliau, daripada jumlah itu sebanyak 1,691 individu terdiri daripada pelbagai warganegara yang disyaki menjalankan aktiviti berkenaan telah ditahan untuk tindakan lanjut.
“Sebanyak 86.06 peratus daripada serbuan yang dibuat berjaya dituduh di mahkamah mengikut undang-undang yang diperuntukkan,” jelasnya.
Minggu lalu, lubuk kegiatan pelacuran sekitar Pudu termasuk pelacur yang bersepah mencari pelanggan di sebuah medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong di ibu negara telah Berjaya digempur polis.
Serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ke atas sebuah medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong membawa kepada tangkapan 27 orang individu termasuk pelayan pelanggan (GRO) dan pelacur yang disyaki menawarkan khidmat seks dengan kadar bayaran serendah RM100.










