Enam wanita direman, disyaki kemuka tuntutan palsu Banci

Enam wanita direman, disyaki kemuka tuntutan palsu Banci Penduduk

KESEMUA suspek direman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan perintah reman selama empat hari kepada enam penjawat awam sebuah jabatan kerajaan negeri, selepas disyaki berkomplot membuat tuntutan palsu berkaitan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 berjumlah RM13,586.

Perintah reman sehingga Ahad ini dikeluarkan Majistret Nabilah Nizam terhadap kesemua suspek wanita berusia antara 40 hingga 57 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 9 pagi dengan memakai pakaian lokap SPRM.

Suspek ditahan antara pukul 2 hingga 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka, Alai.

Pengarah SPRM negeri, Adi Supian Shafie berkata, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan dokumen mengandungi butiran matan palsu.

Jelasnya, butiran itu adalah dokumen Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020: Rekod Kemajuan Kerja Harian Pembanci berjumlah keseluruhan RM13,586 yang diberikan kepada Unit Kewangan pada 2020.

“Tuntutan tersebut dinyatakan sebagai pembayaran gaji pekerja Personel MySTEP sedangkan ia tidak wujud.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×