JEMPOL: Penduduk di Felda Palong 4,5 dan 6, di sini kecewa apabila kemudahan medan selera yang sepatutnya siap pembinaannya pada Ogos tahun lalu namun sehingga ini masih tidak boleh digunakan selain belum dilengkapi bekalan air dan elektrik.
Lebih mengecewakan mereka, medan selera yang dikenali dengan Food Court Pusat Bandar Palong itu juga belum diserahkan kepada mana-mana pihak untuk diuruskan selepas dibangunkan oleh agensi pelaksana iaitu Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Negeri Sembilan.
Menurut salah Seorang penduduk, Zalinah Mohamad, 54, berkata, jika perkara tersebut terus dibiarkan, kemudahan medan selera itu berisiko menjadi mangsa vandalisme.
“Saya sudah tinggal di sini sejak tahun 1987 lagi, memang belum pernah ada lagi medan selera di kawasan ini, oleh itu kemudahan yang ada jika beroperasi sudah tentu menjadi tumpuan penduduk.
“Kemudahan ini dapat menempatkan kira-kira 10 peniaga, ia tentu akan lebih meriah. dan penduduk juga akan mendapat tempias kemajuannya nanti,” katanya ketika ditemui di sini,
Bagi Jamaludin Abd. Gani, 71, juga mengakui kecewa kerana sudah hampir setahun, kemudahan tersebut masih belum dapat digunakan oleh penduduk.
“Kami kecewa, kasihan apabila ada peniaga yang sememangnya berminat untuk berniaga di sini namun masih belum dapat memanfaatkan kemudahan yang ada itu. Saya harap masalah ini akan dapat diatasi segera,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Mustapha Nagoor berkata beliau turut terkilan apabila kemudahan yang berharga lebih RM400,000 itu masih gagal diserahkan kepada agensi di peringkat tanah rancangan berkenaan.
“Selain di sini, sebuah lagi kemudahan sama turut didirikan di Felda Palong 7,8 dan Jeram Panjang, namun turut berhadapan dengan masalah yang sama.
“Kemudahan ini dibina sebagai salah satu usaha kerajaan memastikan peniaga berniaga dalam keadaan sistematik dan dilengkapi kemudahan asas.
“PPN Negeri Sembilan perlu bertindak pantas memastikan medan selera ini dapat siap sepenuhnya dan beroperasi. Patutnya hujung tahun lalu atau awal tahun ini, namun agak mengecewakan apabila sehingga hari ini isu ini masih belum selesai,” katanya lagi.-UTUSAN.










