Durian Duri Hitam terus jadi pilihan ‘kayangan’

Durian Duri Hitam terus jadi pilihan ‘kayangan’

AHMAD Luqman Hakim Nor Azlan menunjukkan durian Duri Hitam yang mendapat permintaan tinggi daripada penggemarnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Meskipun harganya mencecah ratusan ringgit sebiji, durian Duri Hitam (blackthorn) yang menjadi pujaan ramai tetap dicari golongan berkemampuan setiap kali tibanya musim raja buah itu.

Malah Pengurus Dusun Durian Teratak Chu Tiah, Ahmad Luqman Hakim Nor Azlan berkata, kebanyakan pengusaha durian jenis itu sememangnya tidak menang tangan untuk meme­nuhi permintaan pelanggan tetap mereka.

Menurut beliau, dianggarkan setiap hari sebanyak 50 hingga 60 biji durian Duri Hitam dijual kerana permintaan sentiasa ada.

“Kebanyakan pelanggan kami membuat tempahan awal bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang untuk menikmati keenakan durian Duri Hitam. Meskipun harganya agak tinggi, tetapi mereka tidak kisah hingga ada yang berulang-ulang membuat tempahan, saban minggu.

“Seakan memiliki segala rasa bermula manis, lemak dan sedikit pahit, Duri Hitam sememangnya memiliki keistimewaan tersendiri. Dengan warnanya yang menarik, rupanya elok dan setiap pangsa mempunyai isi, para peminat Duri Hitam tidak kisah berbelanja lebih untuk mendapatkannya.

“Di sesetengah tempat, saya dengar ada yang jual antara RM90 hingga RM120 sekilogram bagi buah gred A. Tetapi kami di sini cuma menjualnya pada harga RM75 memandangkan penjualan dibuat secara terus kepada pelanggan dan tidak menggunakan khidmat orang tengah,” katanya ketika ditemui di Changlun, semalam.

Kata Ahmad Luqman Hakim, setakat ini dusun mereka telah menjual kira-kira 600 biji durian Duri Hitam sejak musim buah itu bermula, awal bulan ini.

“Selain di Dusun Chu Tiah ini, syarikat kami yang dinaungi pengasasnya, Nor Azlan Jan, 63, turut menanam durian pelbagai varieti di tujuh lokasi lain, sekitar Changlun.

“Dianggarkan terdapat kira-kira 5,000 pokok semuanya dengan separuh daripadanya adalah Duri Hitam diikuti Musang King, Udang Merah, Hor Lor, D28 dan IOI,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×