Jenayah komersial di Seremban libatkan kerugian RM16 juta - Utusan Malaysia

Jenayah komersial di Seremban libatkan kerugian RM16 juta

MOHD. Hatta Che Din (dua dari kiri) dan Nicole Tan bertemu peserta pada majlis dialog awam bertajuk Jom Lawan Scammer yang diadakan di Seremban 2, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak lebih RM15 juta nilai kerugian direkodkan membabitkan jenayah komersial di daerah ini setakat tempoh suku kedua tahun ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Hatta Che Din, berkata daripada jumlah itu kes tipu termasuk kes penipuan pelaburan tidak wujud telah merekodkan jumlah kerugian tertinggi iaitu sebanyak RM15.4 juta.

Ia diikuti kes pecah amanah yang melibatkan kerugian sebanyak RM467,524 dan jenayah siber (RM9,301.76) serta wang palsu (RM3,153).

Dalam tempoh itu juga menurutnya, sebanyak 25 tangkapan telah dilakukan dan dituduh di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

“Banyak kes yang kami terima adalah melibatkan pelaburan tidak wujud, itu yang menyebabkan jumlah kerugian melibatkan jutaan ringgit,” katanya kepada pemberita selepas majlis dialog awam bertajuk Jom Lawan Scammer yang diadakan di Seremban 2 di sini.

Yang turut hadir,Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon.

Mohd. Hatta dalam pada itu berkata, golongan masyarakat perlu terus diberikan kesedaran mengenai jenayah penipuan scammer lebih-lebih lagi modus operandi yang dilakukan penjenayah semakin canggih.

“Kesedaran mengenainya perlu diberikan termasuk kepada golongan yang mempunyai pendidikan tinggi dan golongan korporat.

“Ketika ini terdapat modus operandi penjenayah yang menghantar kad jemputan di media sosial menggunakan kod QR namun pautan di situ sebenarnya bukan kad jemputan tetapi salah satu kaedah untuk menggodam aplikasi yang ada pada telefon bimbit mangsa,” katanya.

Sementara itu, Nicole Tan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang berkata, program dialog awam yang dijalankan dapat memberi kesedaran kepada orang ramai bagi mengelakkan diri daripada terperangkap dalam jenayah penipuan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×