Muss dah malas nak pening kepala - Utusan Malaysia

Muss dah malas nak pening kepala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jika diukur sudut nilai dan keunggulannya, tidak keterlaluan mengatakan figura ini sudah cukup layak untuk diberi penghormatan tinggi dalam membina kerjayanya. Lebih 30 tahun berjuang mewarnai industri hiburan tanah air terutamanya dalam mengangkat irama rock ke persada lebih tinggi untuk dikenali.

Bila era muzik rock menuju zaman suram, dia tidak angkat kaki mahupun mengalah. Perjuangan tetap diteruskan agar irama ini terus kekal relevan seiring menyusuri arus. Realitinya dia bukan sahaja mampu melaksanakan, malah berjaya memahatkan namanya sebaris dengan penghibur terkenal hari ini.

Bersama Mingguan Malaysia, penyanyi yang pernah membina empayar bersama kumpulan MAY satu ketika dahulu, Mustaffa Din, 51 atau lebih dikenali dengan nama pentas, Muss berkongsi luahan serta perkembangan terkininya dalam industri seni hari ini.

“Sebenarnya pertengahan 2019 lagi saya sudah bergerak solo. Waktu itu saya berjumpa dengan Alfa Booty untuk melaksanakan projek single terbaharu, dan memilih Datuk M. Nasir sebagai pencipta lagu kerana yakin dengan sentuhannya yang masih berbisa.

“Tapi sudah menjadi lumrah, bila minta lagu dengan M.Nasir dia takkan beri masa itu juga. Berbulan juga saya tunggu. Sebaik dapat saya terus perkemaskan lirik dan terhasillah lagu Mencari Kasih yang akhirnya dilancarkan pada awal tahun lepas,” katanya membuka bicara.

Menurutnya ramai peminat mempersoalkan langkahnya bergerak solo. Namun dia punya jawapan tersendiri. Tidak mahu menoleh ke belakang atau menuding jari menyalahkan sesiapa, baginya jalan yang dipilih nekad demi kelangsungan kariernya masa hadapan.

Tidak menafikan keserasian mula terhakis antara dia dengan anggota MAY, Muss menganggap apa yang berlaku mungkin ada hikmahnya. Tidak sesekali ingin bermusuh mahupun membenci rakan seperjuangan yang pernah membina nama bersama, jujurnya memori lalu tetap tersemat indah untuk dikenang sehingga kini.

“Saya akui ketika bersama MAY pun saya pernah bergerak solo, tetapi itu adalah permintaan penganjur. Kekangan bajet merupakan isu utama. Kena faham industri hari ini bukan seperti zaman 80-an dan 90-an dahulu di mana kita ada banyak permintaan show seperti di funfair dan sebagainya, Jadi bila dapat offer menyanyi takkan nak tolak. Ini adalah periuk nasi saya.

“Setiap kali dapat job solo biasanya saya maklumkan dengan anggota lain, namun saya tahu ada yang tidak berpuas hati kononnya saya meminggirkan mereka. Perkara ini dijadikan isu dan ada yang tak boleh terima. Saya tak mahu tegakkan benang basah, tetapi bila keadaan yang sama berlarutan sedikit sebanyak buatkan saya tawar hati,” katanya.

Menurut Muss ketidakselesaan dan bait-bait perpecahan itu dilihat jelas ketika kali terakhir mereka mengadakan persembahan bersama dengan kumpulan XPDC di Ipoh pada penghujung 2018. Tidak menyembunyikan rasa kesal dia akui hatinya sedikit tawar apabila telinganya menangkap pelbagai cerita negatif berkaitan dirinya.

Sebagai seorang profesional dia tetap melakukan yang terbaik demi melaksanakan tugas menghiburkan penonton. Tidak setakat itu, malah dia sedaya upaya membuang jauh rasa ketidakpuasan tersebut demi memberikan yang terbaik buat peminat yang hadir.

“Dalam meniti usia sebegini saya sudah malas nak bergaduh dan bermasam muka. Kami berkawan sudah lama, jadi bila sudah hilang keserasian itu baiklah angkat kaki dan undur diri. Selepas itu saya dapat tahu mereka ada cari penyanyi lain untuk gantikan tempat saya. Walaupun tidak dimaklumkan, namun cerita itu sampai juga di telinga saya. Perkara begini tak boleh sorok kerana peminat MAY adalah peminat saya juga.
“Demi tidak memanjangkan perbalahan saya ambil keputusan undur diri. Buat apa nak tunggu lagi sedangkan mereka sudah ada perancangan sendiri. Jadi untuk teruskan karier saya terpaksa buat keputusan bijak demi masa depan.

“Pemain drum MAY, Man ada berjumpa saya. Kami berbincang secara baik. Akhirnya kami declare dan bersetuju bawa haluan masing-masing,” katanya

Melangkah sebagai penyanyi solo juga tidaklah mudah seperti dijangka. Dia akui sebagai penyanyi yang pernah berada di pentas bersama anggota kumpulan sedikit sebanyak memberi kesan pada persembahannya. Walaupun mampu melakukan, namun kejanggalan itu tetap dirasai.

Sebagai penghibur dia akui perjalanan industri hari ini tidak serancak dahulu. Bukan semua penganjur memperuntukkan bajet besar dalam setiap program yang dianjurkan. Namun jika ada yang memintanya hadir bersama kumpulan, dia sudah bersedia kerana punyai anggota yang sedia bekerjasama dengannya ketika ini.

“Ada yang tanya kenapa saya tidak tubuhkan kumpulan baru. Saya fikir cukuplah dengan apa yang saya lalui sebelum ini. Usia pun dah cecah 51 tahun, takkan nak menyanyi jerit dan headbanging macam dulu lagi. stamina dan energy pun dah tak sama macam muda-muda dahulu.

“Saya tak nafikan kalau bersama kumpulan itu memang feel dia lain sikit. Nak menyanyi huru-hara macam mana pun peminat tetap sporting . Dia orang bukan kisah pun, janji boleh layan kepala. Tapi masalah komitmen pula. Kena sama-sama uruskan. Zaman bujang dulu memang banyak masa, sekarang ini dah berkeluarga. Jadi tak payahlah nak pening-pening kepala,” katanya.

Katalog yang versatil

Mengakui pentas program Realiti TV Gegar Vaganza (GV7) yang disertainya tahun lalu sedikit sebanyak membuka ruang rezekinya apabila bakatnya dilihat lebih versatil berbanding sebelumnya. Mengandaikan sebagai katalog yang cukup bermakna, Muss menganggap di situ adalah pentasnya mengilap bakat mencuba kelainan.

Ditebak tentang peminat, dia akui sejak dikenali sebagai penyanyi solo ramai peminat daripada pelbagai lapisan usia turut menyokongnya.

“Peminat baru ni ada dua kategori. Yang kenal saya tu kira okeylah, tapi yang tak kenal tu ada masalah sikit. Dia tahu kita ni artis melalui ayah-ayah mereka. So bila jumpa tu reaksi dia pelik sikit. Dia pandang atas bawah. Mungkin dalam hati kata, tengok macam kenal, tapi siapa pula ye… nak kata tak kenal macam kenal,” katanya ketawa.

Walaupun masalah yang membelenggu sudah dileraikan, namun timbul pula hal lain apabila dia dilarang untuk menyampaikan lagu-lagu ketika bersama MAY. Mengakui agak terkilan dengan peraturan tersebut dia menjelaskan tidak semua peminat tahu apa yang berlaku.

“Bukanlah salah peminat jika mereka request untuk saya nyanyikan lagu-lagu hits MAY. Mereka kenal saya ketika zaman itu, jadi bila show mesti mereka nak dengar lagu-lagu tersebut. Adakalanya sekali sekala saya bawa juga, tapi untuk tidak timbulkan sebarang masalah saya lebih selesa nyanyi lagu-lagu dari album single sahaja.

“Saya tidak mahu ia dijadikan isu. Nanti saya dilabelkan mengacau periuk nasi orang pula. Mungkin perkara ini nampak kecil, tapi besar bagi orang lain. Malaslah saya nak perbesarkan benda yang remeh temeh ini,” katanya mengakhiri perbualan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×