PRK DUN Sungai Bakap : Jentera BN akan terus bertemu pengundi

PRK DUN Sungai Bakap : Jentera BN akan terus bertemu pengundi

ZAMBRY Abd Kadir (tengah) menyaksikan penyerahan replika check kepada Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Abdul Rahman Mohamed (kanan) dalam program Sesi Dialog Menteri Pendidikan Tinggi dengan Industri E&E di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Jentera Barisan Nasional (BN) akan terus membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin dengan mengunakan pendekatan turun padang mendekati pengundi.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan turun bertemu pengundi terutama pengundi atas pagar itu amat penting untuk menjelaskan mengenai isu-isu semasa kepada mereka.

“Kempen ini kena buat kerja, kena turun kalau yang mungkin atas pagar kita boleh merayu.

”Pendekatan itu yang akan kita buat, seperti yang kita ketahui BN mempunyai strategi yang baik turun ke bawah untuk dekati rakyat

”Yang paling mustahak ialah, dekati mereka jelaskan isu yang ada, maka kalau itu dapat kita lakukan isu-isu yang mereka tertanya mungkin itu akan diperjelaskan,” katanya selepas menghadiri Sesi Dialog Menteri Pendidikan Tinggi dengan Industri E&E  di sini hari ini.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Dalam pada itu, Zambry yang juga Pengarah Pilihan Raya BN DUN Sungai Bakap berkata, momentum kempen PRK Sungai Bakap melibatkan hubungan antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan juga berada pada tahap paling baik.

”Hubungan dalaman dari segi gerak kerja mesti berteraskan kepada perpaduan dan kerjasama, boleh di sebut di sini bahawa semangat yang diberikan antara BN dan PH begitu baik.

”Hubungan dalaman kami sendiri (BN) juga merupakan yang terbaik, kali ini kita tidak dengar ada daripada parti komponen kata dia tidak mahu jalankan kerja (semasa pilihan raya kecil) dijalankan,” katanya.

Tambahnya, semua rakan parti komponen BN telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka akan bekerja bersama dan turun membantu kempen calon PH bagi memastikan kemenangan memihak kepada calon berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×