JASIN: Seorang lelaki warga emas dipercayai mengalami kemurungan ditemukan lemas di Tasik Biru Chin Chin di sini, malam tadi.
Mangsa, Jamaludin Abdul Hamid, 68, dari Kampung Chenderah di sini ditemukan terapung kira-kira pukul 9.18 malam.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Kanan II Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7 malam.
Berita berkaitan:
“Mangsa dipercayai kemurungan keluar rumah pada pukul 9 pagi, namun keluarga mangsa mendapati dia tidak pulang ke rumah. Polis bersama orang kampung kemudiannya membuat carian dan menemukan motosikal serta selipar mangsa di tepi tasik pada pukul 7 malam.
“Pada pukul 9.18 malam tadi, kita menemukan satu mayat dalam keadaan terapung pada jarak kira-kira enam meter dari lokasi selipar mangsa ditemui. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebaik dibawa naik,” katanya.
Tambah Muhammad Izwan Arief, pengecaman mayat mangsa telah dibuat oleh waris iaitu adik-beradik mangsa serta anak buah.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada pukul 10.02 malam,” ujarnya. – UTUSAN











