KUALA LUMPUR: Impian penyanyi dan penulis lirik, Yuka Kharisma untuk berkolaborasi dengan penyanyi pujaannya, Farah Idayu bakal direalisasikan menerusi sebuah single yang akan diterbitkan penghujung tahun ini.
Kata penyanyi berusia 36 tahun itu, kolaborasi berkenaan dianggapnya sebagai kerjasama istimewa sementelah dia juga cukup mengagumi kebolehan bekas peserta Akademi Fantasia berkenaan.
“Single itu ditulis oleh saya manakala muziknya dihasilkan suami saya, Ahmad Jeffny Kamar.
“Idayu miliki bakat luar biasa. Saya adalah peminatnya. Bahkan, sebelum ini saya pernah cuba membawa albumnya ke Indonesia.
“Jadi bila berkesempatan untuk berjumpa dan berkenalan, saya ajak dia untuk bekerjasama.
“Kami masih sedang merangka lagu ini dan Insya-Allah akan rakamkan demonya dalam masa terdekat,” katanya.
Menurut Yuka, lagu berentak balada itu berbeza dengan mana-mana lagu yang pernah dirakamkan mereka sebelum ini.
Katanya, lagu tersebut dihasilkan mengikut trend terkini dengan sedikit pengaruh daripada muzik Korea Selatan.
“Belum ada tarikh tertentu untuk kami keluarkan lagu ini, tapi sebolehnya secepat yang boleh. Mungkin sekitar Ogos atau September depan.
“Kami mahu elak lagu tangkap muat. Disebabkan lagu berkualiti, kami mahu pasarkannya sebaik mungkin, menggunakan media sosial dan platform penstriman,” ujarnya.











