TIDAK sekadar penampilan, apa yang turut berbeza mengenai pengacara popular ini juga adalah melalui cara hidupnya. Memilih menyertai tabligh, ada yang berpendapat perubahan yang berlaku ke atas Nabil Ahmad juga terlalu drastik. Menjelaskan apa yang dilaluinya ketika ini cukup indah, malah tidak mampu diluahkan secara lisan. Tiada sebab untuk dia terus takut dengan hukuman manusia, apa yang berlaku adalah atas pilihannya sendiri. Memilih untuk kekal bergelar anak seni, kongsi Nabil lagi, ini adalah medan dakwahnya.
Komen ada yang melihat perubahan ke atas Nabil ini berlaku secara drastik dan taksub?
Saya berubah untuk Allah. Untuk menjadi lebih baik dan perubahan yang berlaku itu hanya saya yang rasa. Mungkin orang lain tidak nampak. Soal drastik, Alhamdulillah saya harap lebih ramai berubah dengan drastik. Saya memang taksub. Kita kena taksub dalam beragama.
Sebab, bila kita tidak taksub membawa makna kita ambil agama secara sambil lewa. Dunia-dunia juga tidak suruh tinggalkan pun, dunia ini adalah jambatan ke akhirat.
Mahu kata seimbangkan pun, sebenarnya tidak seimbang pun kita hanya solat lima kali sehari berbanding kerja yang mengambil masa sehingga lapan jam ke 12 jam.
Mengenai penampilan berjambang kini, akan terus kekalkan?
Alhamdulillah, saya ingat klien akan pertikai mengenai jambang. Tetapi itulah kita bersangka buruk sangat dengan Allah, semua elok sahaja sehingga kini. Sama sahaja penerimaan malah layanan lebih baik saya dapat.
Saya memang tidak sangka. Bila berubah, saya hanya buat untuk diri saya tidak harap pun penerimaan dan pandangan orang lain.
Sebab itu, apa yang berlaku ke atas diri ini pada mulanya saya tidak mahu kongsikan melalui media. Sebab lebih senang bersemuka. Bila bekerja misalnya dengan rakan artis memang saya mahu kongsikan pengetahuan agama saya yang sedikit ini. Supaya sekurang-kurangnya dalam satu hari kita akan berkongsi hal agama yang dahulu kita tidak buat pun. Berbanding dahulu setiap kali berjumpa dengan rakan artis apa yang dibincangkan hanya hal kerja.
Ada yang kaitkan perubahan Nabil ini ada kena mengena dengan perubahan yang berlaku ke atas Neelofa?
Tidak ada, bila melihat perubahan yang berlaku ke atas diri dia sebelum ini saya fikir itu adalah yang terbaik untuknya. Cuma memang tidak sangka perubahan yang berlaku ke atas kami kini membolehkan saya dan dia berada dalam satu program yang membincangkan hal agama.
Apa yang berlaku ke atas diri saya cukup mudah yang mana saya didatangkan perasaan untuk tahu lebih mendalami pasal agama. Lalu saya berkongsi dengan rakan-rakan saya yang juga ahli tabligh. Mereka ini pakaian seperti saya, tetapi solat tidak tinggal dan banyak ilmu agama. Tidak ada mimpi atau sebarang peristiwa.
Terfikir mahu tinggalkan dunia seni?
Masing- masing ada cara. Tetapi ini adalah medan usaha agama kita . Kalau kita tinggalkan medan agama kita ini di mana yang kita akan usaha? Di sini adalah tempat mungkin orang lain tidak dapat jumpa dengan kawan-kawan kita. Tetapi saya ada peluang itu berjumpa dengan rakan-rakan artis untuk berkongsi.
Meneruskan hidup ini memang kena berdakwah jika tidak sia-sia hidup. Saya tidak pernah terfikir akan hilang rezeki melalui perubahan ini. Saya sentiasa yakin rezeki itu milik Allah. Melihat apa yang saya lalui sebagai seorang penghantar surat pada mulanya siapa sangka saya akan bekerja dalam bidang ini. Sebab itu, saya tidak pernah takut soal rezeki.
Selain Nabil, apa yang menjadi perhatian adalah penampilan isteri, Zira Ayub yang juga sudah bertudung kini. Adakah ini permintaan Nabil?
Saya tidak pernah paksa dia, hanya melalui doa sahaja. Setiap kali berdoa saya minta Allah agar berikan yang terbaik untuk keluarga saya. Cuma saya berharap sangat agar terus doakan kami istiqamah.
Sebenarnya apa yang paling mencabar adalah untuk kekal dalam keputusan ini. Berusaha sendiri sahaja tidak cukup sebab itu saya dengan ikhlas meminta agar orang ramai akan terus mendoakan perubahan yang berlaku ini.










