Lelaki bunuh ibu diarah jalani pemeriksaan mental

Lelaki bunuh ibu diarah jalani pemeriksaan mental

SOON Yong Aun (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret George Town di Pulau Pinang semalam bagi dakwaan membunuh ibunya sendiri. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Mahkamah Majistret di sini semalam memerintahkan seorang lelaki yang berdepan tuduhan membunuh ibunya menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, M.Darrshini agar tertuduh menjalani pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Terdahulu, tertuduh, Soon Yong Aun, 40, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mengaku faham pertuduhan ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan, pada 15 Jun lalu, kira-kira pukul 5.47 petang, tertuduh didakwa membunuh Chua Ah Ting, 67, di sebuah rumah di Taman Alor Vista, Lebuh Relau, di sini.

Pertuduhan membunuh itu yang dibaca mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit dengan kesalahan.

Ketika prosiding dijalankan, Darrshini memohon kepada mahkamah supaya tertuduh tidak dibenarkan untuk diikat jamin selain dirujuk ke Hospital Bahagia mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

“Dalam siasatan pendakwaan, tertuduh mempunyai kad merah iaitu kad ubatan terkawal yang merujuk kepada sakit mental,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia untuk perhatian doktor selama sebulan mulai 26 Jun dan kes ditangguh sehingga 24 Julai depan untuk laporan perubatan.

Pada 15 Jun lalu, media melaporkan, seorang wanita warga emas maut dipercayai dibunuh oleh anak bongsunya dengan menggunakan gunting di sebuah pangsapuri di Relau, di sini.

Difahamkan, suspek yang mempunyai masalah mental itu telah menghubungi abangnya sendiri memaklumkan perbuatannya sebelum ditahan polis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×