SEREMBAN: Acara sukan seperti tinju, berbasikal, olahraga dan menembak menjadi sasaran kontinjen Negeri Sembilan bagi meraih pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.
Ketua Kontinjen Negeri Sembilan ke temasya itu Mustapha Nagoor berkata, selain itu, sukan seperti sepak takraw dan ragbi juga berpotensi untuk membawa pulang pingat emas daripada keseluruhan 30 acara sukan yang disertai Negeri Sembilan.
“Negeri Sembilan menyasarkan kedudukan Sembilan terbaik daripada 15 kontinjen yang ambil bahagian. Kami menyertai 30 daripada 37 acara sukan dipertandingkan hasil penilaian dan persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang mengambil kira kelayakan pasukan dan atlet terlibat.
“Sukan yang berpotensi meraih pingat emas adalah acara sukan berbasikal, tinju, olahraga dan menembak.
“Bagaimanapun acara sukan seperti sepak takraw serta ragbi berkemungkinan ada peluang, begitu juga acara bola sepak yang dilihat berpotensi menyumbang pingat namun perlu dilihat nasib pasukan daripada segi pembahagian kumpulan,” katanya.
Mustapha yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelantikan Bapa Angkat Kontinjen Negeri Sembilan sempena Sukma Ke-21 dan Penyampaian Dana Pentadbiran kepada Persatuan Sukan Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi di sini hari ini.
Dalam pada itu, kata beliau, daripada keseluruhan 480 atlet yang akan mewakili kontinjen Negeri Sembilan pada kejohanan Sukma nanti, 30 peratus daripadanya merupakan atlet kebangsaan.
“Saya percaya dengan kehadiran atlet kebangsaan pungutan pingat emas lebih banyak dapat diraih kontinjen Negeri Sembilan,” katanya lagi.
Sementara itu, menurut Mustapha, pemilihan bapa angkat bagi acara sukan kontinjen Negeri Sembilan yang terdiri dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen dilihat dapat menjadi pendorong semangat dan motivasi kepada atlet terlibat untuk beraksi dengan lebih baik/
Pada Sukma Ke-20 di Kuala Lumpur, kontinjen Negeri Sembilan berada pada kedudukan ke-10 dengan pungutan 19 pingat emas, enam pingat perak dan 28 pingat gangsa.-UTUSAN.











