KOTA BHARU: Jaringan penalti Oday Kharoub pada minit ke-28 membantu Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) meraih kemenangan sulung dalam saingan Liga Super musim ini apabila menewaskan PDRM FC 1-0 di Stadium Sultan Muhammad IV di sini sebentar tadi.
Lebih manis kejayaan itu dilakarkan dihadapan penyokong sendiri selepas tewas dalam tiga perlawanan sebelum ini.
Turun dengan misi meraih kemenangan, tuan rumah tampil dengan asakan bertali arus ke kubu pelawat namun dihampakan oleh ketumpulan jentera penyudah.
Pemain pertahanan pelawat, Faith Obilor terselamat daripada layangan kad merah selepas menjatuhkan Valdumar Augusto dari belakang pada minit ke-21, apabila pengadil perlawanan Muhammad Shukor Zulkiflee mendapati pemain tersebut tidak bersalah selepas membuat semakan menerusi video bantuan pengadil (VAR).
Bagaimanapun, Obilor dilayankan kad kuning.
Tujuh minit berselang, Stadium Sultan Muhammad IV bergemuruh dengan sorakan penyokong apabila ketua pasukan Oday Kharoub tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-28 untuk menewaskan penjaga gawang PDRM FC Seen Tian Keat.
KDN FC memperoleh sepakan itu selepas Michal Jerabek dikasari dalam di depan pintu gol pelawat dan semakan VAR menjadi pemain lawan melakukan kesalahan tersebut pada minit ke-26.
Tersentak dengan jaringan itu PDRM FC cuba bangkit namun dihampakan oleh ketumpulan penyudah yang menyaksikan kedudukan itu kekal hingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, pelawat terus berusaha mendapatkan jaringan bagi mengikat kedudukan namun KDN FC kental bertahan bagi memastikan tiga mata menjadi milik mereka dan keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan.-UTUSAN











